Apa lagi PAS nak perjuangkan!


Hakikatnya undi orang Melayu tidaklah banyak — sekitar 6.3 juta manakala bukan Melayu lebih 4 juta. Namun jika diambil perhatian, pengundi Melayu memang tersangatlah liat untuk keluar mengundi lebih-lebih lagi jika hujan lebat di sebelah pagi hari pengundian.

Zulkifli Jalil, The Malaysian Insider

Negara berkebajikanlah, Buku Jinggalah. Sesiapa pun kalau “membacanya” pasti mengerti semua yang terkandung di dalam dua agenda pembangkang ini sudah pun terangkum dalam pelan pembangunan negara sejak merdeka lagi.

Berkehendakkan sekolah, klinik dan hospital, nah! semuanya beribu-ribu terpampang di muka bumi Malaysia ini. Itu belum lagi soal yang lain-lain sehinggakan rakyat asing pun “tercengang-cengang” sebaik sahaja tiba di tanah air ini termasuklah kira-kira dua juta pekerja mereka.

Tambah manis lagi apabila aspek pembangunan negara ini digarap dengan pelan transformasi yang digerakkan Datuk Seri Najib Razak sejak menyandang jawatan Perdana Menteri. Manfaat pelan ini mula menebar rezekinya di kalangan rakyat.

Kerana itu, kalau secara kasar kita boleh ungkapkan: “apa nak lagi”? Tapi biarlah secara tertib “bukankah semuanya sudah ada”. Buat apa ibarat “tikus membaiki labu”.

Sewajarnyalah PAS yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuktikan dahulu parti itu boleh membangunkan ummah dalam bidang ekonomi dan ilmu. Ini khususnya di sebuah negeri Pantai Timur yang diperintahnya hampir lebih 20 tahun itu.

PAS perlu berfikiran besar. Jangan terlalu jumud dan kecil. Janganlah gunakan diri sendiri untuk mengukur alam yang luas ini.

Cuba renung-renungkan cerita orang buta dan gajah. Bila yang seorang terpegang ekor gajah, maka disangkanya gajah itu panjang dan tirus. Yang seorang lagi terpegang telinga gajah, lalu disangkanya gajah itu nipis. Seorang lagi memegang badan gajah dan disangkanya gajah itu keras macam tembok.

Islam itu hakikatnya lebih besar dari gajah yang ditafsir oleh tiga orang buta tadi. Malah Islam itu lebih besar dari tafsiran sempit sebilangan pengikut yang berpartikan PAS yang menganggap mereka lebih Islam daripada orang lain.

Dalam Islam, kenalah keutamaan yang betul dalam soal agama ini. Kalau kita asyik kejar yang sunat dan yang kecil, kita akan abaikan yang besar atau yang penting.

Masalahnya, sebilangan dalam PAS ini lebih utamakan yang kecil dan cabang dari itu yang besar dan yang penting. Kelak, lama-kelamaan kita pentingkan apa yang sebenarnya perkara luaran sahaja. Bukan isi atau semangatnya. Kita hanya pentingkan cara menangkap daripada mengajar atau membetulkan.

Ini penting untuk kita fahami sedalam-dalamnya supaya kita dapat melahirkan umat Islam yang berhati besar, yang kuat, yang kaya dan yang berilmu. Itu sahaja caranya kita nak lawan orang lain.

Kalau kita lawan dengan air liur dan cakap sahaja seperti mana Abdul Hadi dalam memperkatakan Negara Berkebajikan PAS sedangkan di negeri Pantai Timur itu pun sampaikan pembangunan pesat di Jeli termasuk projek Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pun diusahakan oleh Datuk Seri Mustapa Mohamed dari parti kerajaan, tak akan ke mana kita.

Cuba sekali lagi kita renung-renungkan kisah PAS semasa pilihan raya. Antara yang paling menarik ialah tentang kedudukan wanita sebagai calon pilihan rayanya. Ya, memanglah calon wanita pertamanya yang diturunkan ialah Khadijah Sidek ketika pilihan raya (umum) pada 1955 yang ketika itu negara ini dikenali nama Tanah Melayu.

Tetapi sejak itu, calon-calon wanita dari parti itu lenyap terus kelibatnya. Tiba-tiba pada Januari tahun ini, PAS mengakui parti itu membuat tafsiran semula ayat al-Quran berhubung keputusan meletakkan calon wanita bertanding pilihan raya apabila menurunkan Normala Sudirman pada pilihan raya kecil Tenang di Johor.

Isu calon wanita menjadi bukti betapa PAS sebenarnya membuat sesuatu dasar bukanlah kerana mereka benar-benar ingin mengikut ajaran Islam sebenar. Tetapi lebih kepada soal kepentingan politik.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...