PRK Tenang bukan ukuran PRU Ke -13


(Buletin Online) – Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik menyifatkann tindak tanduk petugas Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil (PRK) DUN Tenang  tidak bertamadun kerana memberi tekanan dan mengugut pengundi dalam pilihanraya kecil (PRK) DUN Tenang.

Menurutnya, ia adalah antara sebab mengapa calon PAS, Normala Sudriman tewas dalam pilihanraya kecil itu, Ahad lalu, kerana para pengundi menjadi ‘takut’ untuk menyokong parti pembangkang.

“Kita melihat dari segi ceramah yang diadakan ceramah PAS dihalang dan diganggu dengan ceramah Umno-BN yang tidak ada permit tetapi peralatan dan sistem suara dipasang lebih kuat. Mereka juga meletakkan bendera di rumah orang (atas pagar).

“Selain itu, jentera kerajaan diarahkan oleh Umno-BN supaya memberi penumpuan kepada kubu kuat parti contohnya (pada waktu banjir melanda) pengundi (bukan penyokong BN) tidak dipedulikan untuk ke tempat mengundi, sebaliknya di kawasan kubu kuat, mereka ambil berat (menghantar bantuan bot dan sebagainya),”katanya ketika mengulas lanjut laporan sebuah akhbar tempatan hari ini.

Akhbar tersebut meminta beliau mengulas mengenai keputusan pilihanraya kecil DUN Tenang yang memihak kepada BN dengan majoriti 3,707.

Akhbar tersebut memetik keputusan pilihanraya tersebut sebagaimana diumumkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR); calon BN, Mohd Azahar Ibrahim berjaya mengalahkan pencabarnya, Normala Sudirman dengan memperoleh sebanyak 6,699 undi berbanding PAS sebanyak 2,992 undi.

Ustaz Abu Bakar yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menolak dakwaan sesetengah pihak yang menjadikan keputusan pilihanraya DUN Tenang sebagai panduan menentukan pengaruh parti-parti politik dalam pilihanraya umum yang ke-13 akan datang.

Menurutnya, faktor diluar jangkaan iaitu cuaca yang buruk dan banjir yang melanda seluruh DUN Tenang mempengaruhi peratusan keluar mengundi.

“Suasana pilihanraya (hari pengundian) di Tenang tidak boleh dijadikan ukuran terhadap (pengaruh parti politik) pilihan raya umum akan datang dan kita melihat faktor cuaca turut memainkan peranan besar, selain Johor adalah negeri kuat UMNO,” katanya.

 



Comments
Loading...