Salehudin: RM9,000 sebulan jumlah yang sangat kecil


(Harakah Daily) – Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehudin Hashim mengaku menerima gaji sebanyak RM9,000 sebulan sebagai Setiausaha Agung parti tetapi menyifatkan ianya ‘jumlah yang sangat kecil’.

“RM9,000 adalah jumlah yang sangat kecil jika dibandingkan dengan masa yang telah saya curahkan dan gaji terakhir saya sebelum bersara, dan jika dibandingkan dengan jumlah besar yang telah dibayar kepada pelbagai individu dalam dan luar parti untuk menggembirakan dan mendiamkan mereka tanpa mereka perlu membuat apa-apa,” kata Salehudin.

Salehudin berkata demikian dalam kenyataannya bagi menjawab kenyataan Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali yang memaklumkan beliau (Salehudin) dibayar gaji sebanyak RM9,000 sebulan walaupun ramai yang menganggap Salehudin memberikan khidmat percuma untuk PKR.

Menurut Salehudin, beliau menerima tawaran Datuk Seri Anwar untuk menjadi Setiausaha Agung PKR selepas berkhidmat selama empat tahun sebagai Setiausaha Pengelola dan Ketua Staf Anwar.

“Dengan berat hati, saya menerima tawaran tersebut dengan beberapa syarat, antaranya sebuah Ibu Pejabat Parti yang lengkap, gaji yang mencukupi untuk staf dan memandangkan saya telah berkhidmat sebagai Setiausaha Pengelola selama 4 tahun dengan menggunakan wang saya sendiri untuk perbelanjaan pejabat, saya meminta elaun RM100 sehari untuk perbelanjaan berkaitan seperti telefon, parkir, perjalanan, makan-minum dan sebagainya,” kata Salehudin dalam kenyataannya.

Berkenaan dengan CEO Kumpulan Perangsang, Salehudin memberitahu, beliau diarahkan oleh Anwar untuk mengambilalih jawatan tersebut untuk kepentingan PKR.

“Datuk Seri Anwar sendiri mengarahkan saya untuk mengambil tugas dan tanggungjawab tersebut bagi memenuhi aspirasi Parti, walaupun saya agak keberatan. Saya menjawab saya hanya akan mengambil tugas tersebut jika saya dibayar RM1 sebulan,” kata beliau dalam kenyataannya.

Beliau memaklumkan perkara itu kepada Anwar.

“Saya tidak berhasrat untuk mendedahkan dokumen-dokumen sulit ini kepada umum. Memadailah untuk Dr. Syed Husin membuat kajiannya sendiri sebelum bercakap melalut. Semua ini direkodkan dalam komputer saya beserta bukti-bukti lain yang menunjukkan Datuk Seri telah menerima e-mel tersebut dan bertindak sewajarnya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Syed Husin mendakwa, bekas Setiausaha Agung parti itu  bertindak menentang partinya selepas gagal mendapat jawatan sebagai CEO Syarikat Perangsang yang gajinya adalah RM50,000 sebulan.

 



Comments
Loading...