Cop Ketua Umno Bahagian untuk dapatkan projek


(Harakah Daily) – Parlimen hari ini ‘kecoh’ apabila diberitahu bahawa terdapat surat pekeliling arahan untuk mendapatkan cop Ketua Umno Bahagian untuk kontraktor mendapatkan projek.

Perkara ini didedahkan di Dewan Rakyat oleh Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) dalam soalan tambahannya kepada Kementerian Kewangan berhubung projek-projek untuk kontraktor kelas A sehingga F.

“Saya dapat tahu ada perjumpaan seorang menteri kabinet yang mengarahkan supaya projek-projek tidak disalurkan kepada penyokong Pakatan Rakyat.

“Malah ada surat pekeliling mengarahkan kontraktor mendapatkan cop Ketua Umno Bahagian untukmendapatkan projek,” katanya yang mengundang rasa tidak senang beberapa ahli parlimen BN.

Beberapa ahli parlimen cuba mengganggu Mahfuz seraya menjawab dan melaungkan :”Biasalah kroni.”

Menjawab soalan itu, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Awang Adek cuba memperlekehkan soalan Mahfuz dengan mengatakan ianya tidak berlandaskan fakta dan bukti.

“Ini masalahnya, tidak mahu sebut siapa dan surat yang dikatakan pun tidak ada,” katanya.

Lantas, Mahfuz bingkas bangun dan berjanji akan menunjukkan surat tersebut pada sidang Parlimen esok.

“Esok saya bawa surat dan bukti ada arahan itu!” katanya menyebabkan dewan sekali lagi kecoh.

Sebelum itu Awang Adek menjawab soalan Mohd Nizar Zakaria (BN- Parit) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan strategik garis panduan dalam pengagihan projek-projek kepada kontraktor-kontraktor kelas A,B,C,D dan E diberi peluang sebagaimana kontraktor kelas F dan apakah bentuk polisi pihak bank bagi memudahkan pinjaman kepada kontraktor.

Awang memberitahu bahawa pemilihan kontraktor A, B, C dan D bagi melaksanakan projek kerajaan adalah melalui proses tender terbuka atau tender terhad bagi mendapat persaingan yang kompetetif.

“Inilah adalah sejajar dengan matamat kerajaan untuk mewujudkan persaingan yang sihat antara kontrator berdaftar,” katanya.

Sebelum itu beliau memberitahu projek berjumlah lebih RM10 juta diberikan kepada kontraktor kelas A, diikuti susunan gred manakala kelas F sekitar kurang RM20,000 sehingga RM200,000 mengikut keupayaan.



Comments
Loading...