Kerajaan Selangor Haram Kakitangan Negeri dan Pelajar IPT Milik Selangor Hadiri Kursus BTN
(mStar Online) – Kerajaan Negeri Selangor hari ini memutuskan bahawa semua pelajar yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri, kakitangan jabatan Kerajaan Negeri dan pegawai dari anak-anak syarikat serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri tidak dibenarkan mengikuti kursus Biro Tata Negara (BTN) yang dianjurkan oleh Kerajaan Persekutuan berkuat kuasa serta-merta.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK)di sini pada Rabu.
Dr Halimah berkata perkara tersebut dibuat kerana kajian yang telah dijalankan mendapati kursus BTN yang dijalankan mengandungi ‘indoktrinisasi’ Kerajaan Barisan Nasional yang agak rasis dan seolah-olah memecahkan penduduk-penduduk pelbagai bangsa dan agama di negara ini.
Antara IPT yang terlibat adalah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Universiti Industri Selangor (Unisel) dan Kolej Inpens.