Tengku Razaleigh dan Pakatan
Zaid Ibrahim
Satu wadah politik yang bernama Pakatan Rakyat Malaysia telah pun dikemukakan permohonan untuk kelulusan Pendaftar Pertubuhan 10 hari yang lalu. Saya amat gembira dengan perkembangan ini; maklumlah ini adalah julung kali tiga parti pembangkang terbesar di tanah air kita bersetuju untuk bersatu di bawah satu kerangka yang sah serta mempunyai lambang dan matlamat perjuangan politik yang satu.
Namun, kegembiraan ini tidak pula dikongsi bersama oleh pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat, Parti Islam Se-Malaysia dan Parti Tindakan Demokratik. Tidak ada langsung kenyataan yang memberangsangkan dari pimpinan tertinggi ketiga-tiga parti itu. Mereka seolah-olah tidak mahu perkara ini dihebohkan kepada orang ramai. Tak tahu lah saya sama ada ini strategi politik masing-masing; hanya mereka sahaja lah yang mengetahui sebab-musababnya.
Sebaliknya yang dihebohkan kepada awam adalah kenyataan seorang dua pemimpin kanan PKR yang bersungguh-sungguh mahu menjelaskan kepada orang-ramai bahawa saya bukan lah Pengerusi Pakatan Rakyat Malaysia. Mereka menjelaskan nama saya sebagai pengerusi “protem” ini hanyalah untuk tujuan pendaftaran. Ribuan terima kasih saya ucapkan kepada mereka kerana gigih berusaha membuat penjelasan itu. Saya percaya rakyat Malaysia yang bijaksana sudah pun sedia maklum yang permohonan pendaftaran sesebuah pertubuhan memang memerlukan beberapa pegawai penaja untuk memenuhi syarat pendaftaran. Sudah tentu tak masuk akal kalau saya yang menjadi “ketua” kepada pemimpin-pemimpin besar seperti Anwar Ibrahim, Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.
Yang rakyat ingin dengar tetapi tak diterangkan ialah tujuan dan harapan penubuhan Pakatan Rakyat Malaysia sebagai alternatif kepada Barisan Nasional. Bagi saya penjelasan tentang isi lebih penting daripada bercakap soal kulit. Saya pasti rakyat ingin tahu matlamat, wawasan dan strategi bersama Pakatan Rakyat Malaysia.
Bercakap mengenai strategi politik, saya bukan pakar atau ada apa-apa agenda tersendiri. Saya sekadar ingin melihat satu perancangan dari parti-parti pembangkang yang harus diketahui oleh rakyat; tentang bagaimana pelan tindakan mereka untuk menggantikan BN sebagai kerajaan pusat yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat. Buat masa ini pelan itu, kalau pun ada, masih tidak jelas.