1Malaysia – Satu Malaysia Tak Faham
Slogan 1Malaysia berkumandang melalui RTM setiap waktu dengan obsession yang begitu tinggi sekali.
Assalaamualaikum sudah diganti dengan Salaam 1Malaysia. Begitulah hebatnya slogan 1Malaysia ini dan saya begitu kagum dengan usaha Kementerian Penerangan kita mempromosikan slogan kita yang terbaru ini.
Saya tertanya-tanya apa dia 1Malaysia ini. Selama ini saya hanya bertanya kepada diri saya sendiri apa maknanya 1Malaysia ini.
Saya berasa malu juga untuk bertanya kepada mana-mana pihak kerana mungkin saya seorang sahaja yang tidak faham sedangkan 27 juta rakyat yang lain faham apa maksud slogan ini.
Apabila orang sebut 1Malaysia saya pun sebut juga walaupun dalam hati saya sedang berusaha untuk mendapatkan jawapan kepada pertanyaan yang saya ajukan kepada diri saya itu.
Pada suatu hari seorang sahabat saya muncul di kaca TV berforum tentang slogan 1Malaysia ini, tetapi beliau tidak berjaya meyakinkan saya tentang tuju arah slogan ini dicipta.
Dalam hati saya berkata sepatutnya tentu ada definasi jelas tentang slogan ini, kalau tak panjang pendek; mesti ada definasinya, tetapi saya tidak juga terdengar sahabat saya ini memberikan definasi itu.
Pada keesokkan harinya saya bertanya kepada sahabat saya yang bercakap dalam TV itu, ‘Bro, boleh ke you terangkan kat I apa dia definasi 1Malaysia itu? Sorry to ask you, sebab I tak faham. Aku segan nak tanya ramai orang. Sebab you dah muncul dalam TV bercakap tentang isu ini, I nak tanya youlah!”