Kes perobohan Kuil Mathurai Veeran
Kes Perobohan di Persiaran Kerjaya, Glenmarie, Shah Alam Dalam Siasatan, Semua Pihak diharap Bersabar Sebelum Membuat Sebarang Dakwaan
YB Dr Xavier Jayakumar, EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam meminta semua pihak supaya bersabar serta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan perobohan beberapa binaan di Persiaran Kerjaya, Jalan Glenmarie, Seksyen U1, Shah Alam.
Kes perobohan binaan itu oleh MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) yang didakwa beberapa kumpulan sebagai Kuil Mathurai Veeran sekarang berada dalam siasatan. Kes ini juga telah dimaklumkan dan dibincangkan dengan ADUN kawasan berkenaan iaitu YB Nik Nazmi. Kami sedang menunggu laporan penuh dan kronologi perobohan tersebut sebelum tindakan lanjut diambil.
Adalah penting bagi semua pihak supaya dapat bersabar serta berfikir secara rasional sebelum membuat sebarang spekulasi, dakwaan serta kenyataan sebelum hasil siasatan diumumkan. Didapati ada beberapa pihak yang cuba mensensasikan kes yang masih dalam siasatan ini untuk meraih sokongan politik. Sebarang kenyataan dan dakwaan tidak rasional yang dikeluarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebelum hasil siasatan diumumkan bukan sahaja dilihat berniat jahat malah boleh menimbulkan suasana tidak harmoni di kalangan rakyat.