Empayar McMusa Mula Goyah?


Oleh: DATUK DR JEFFREY KITINGAN

KETIKA menjadi Pengarah Yayasan Sabah 1984-1994, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ketika itu Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah secara mala-fide memfitnah dan membuat tuduhan palsu ke atas saya kononnya terlibat dengan Skandal RM4 Billion, semata-mata untuk ‘membunuh’ Kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) kerana ketika itu PBS mendapat sokongan akar umbi dan keluar daripada Gagasan Barisan Nasional.

Mujur niat jahat mereka untuk ‘memusnahkan’ kerjaya saya tidak direstui Tuhan kerana mereka gagal mengemukakan bukti melampaui keraguan munasabah sehingga Mahkamah membebas dan melepaskan saya tanpa syarat, namun agak malang kerana kesannya terhadap PBS masih terasa sehingga kini.

Paling memalukan, mereka menangkap saya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama rakan-rakan saya yang tidak berdosa dan kemudiannya membuat pertuduhan palsu ke atas saya sedangkan saya tidak menahu dan tidak melakukan sebagaimana yang didakwa. Mulut saya terkunci kerana tahanan ISA tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan dan hanya di Mahkamah Keadilan baru saya dapat bersuara.

Saya telah membuat laporan polis dan SPRM terhadap Ketua Menteri Sabah dan kroninya melalui 81 Dalil yang lengkap dengan bukti dan keterangan terutama Skandal Wisma Bandaraya dan Konsesi Pembalakan yang dilakukan Musa Aman semasa beliau menjadi Pengarah Yayasan Sabah, Menteri Kabinet dan Ketua Menteri Sabah.

Ironinya, bukan sahaja Musa Aman tidak pernah disiasat atau dipanggil untuk memberi keterangan, malah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dianugerahi pingat Seri Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (S.P.D.K) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima; Pengarah Siasatan Datuk Jamidan Abdullah dan Pengarah Pendakwaan SPRM Datuk Shukri Abdull dianugerahi Pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) serta Bekas Pengarah SPRM Sabah, Puan Hajjah Latifah Md Yatim dianugerahi Pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K).

Masa untuk bercerita tentang pingat telah berlalu, kini tiba masanya untuk menjalankan siasatan berdasarkan dua laporan polis terbaru saya di Balai Polis Penampang PPG/RPT/5914/09 dan PPG/RPT/6019/09 berhubung kes pemalsuan geran dan pemberian konsesi melalui pintu belakang kepada ‘orang yang tidak dikenalinya’, Michael Chia Tien Foh, yang umum tahu terlibat dengan Kes Penggubahan Wang Haram $S 16 juta di Hong Kong.

Jika dulu Malaysia telah dijajah oleh McDonalds, tetapi kini setelah McCurry memenangi kes paten jenama ‘Mc’ di Mahkamah, timbul pula isu ‘McMusa’, satu jenama baru yang kukuh dalam Empayar Perniagaan di Sabah sejak Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah (2003 hingga kini).

 

Walaupun ‘McMusa’ tidak dipatenkan dan tidak terlibat dengan perniagaan ‘Franchise’ Makanan Segera, namun McMusa mendapat ‘Franchise’ konsesi ‘Pembalakan Segera’ dan ‘Kontrak Pengangkutan Segera’ yang menjadi nadi kekuatan memperkasa ‘McMusa’ untuk selamanya, selagi Barisan Nasional berkuasa di Sabah.

 



Comments
Loading...