Syabas Tok Guru dan Khalid Samad


Zaid Ibrahim

YB Nurul Izzah dari Lembah Pantai begitu murah hati. Dia memuji saya sebagai seorang pemimpin politik Melayu yang berani sederhana dan berprinsip.

Saya amat berterima kasih kepadanya. Tetapi sebenarnya ada ramai lagi pemimpin Melayu Islam yang tidak ekstrem dan bersifat sederhana. Mereka berani ,ada prinsip dan integriti. Mereka juga wajar kita beri perhatian dan sokongan .Orang Melayu Islam di negara ini memerlukan kepimpinan yang sederhana dan berperikemanusiaan seperti Tok Guru Nik Aziz dan YB Khalid Samad.

Berbeza pula dengan Menteri Dalam Negeri Hishammuddin Hussein yang bangga kerana dapat menunjukkan kepada kepimpinan UMNO dan kuncu-kuncu mereka di Seksyen 23 Shah Alam, Selangor bahawa dialah yang prihatin dengan nasib orang-orang UMNO. Orang-orang inilah yang berarak dengan kepala lembu membantah cadangan pembinaan sebuah kuil kerana kononnya kuil itu dekat dengan rumah mereka. Hishammuddin sedikit pun tak rasa bersalah atau meminta maaf terhadap tindakan mengancam rusuhan kaum dan menghina kaum serta agama lain. Malah dia pula menjadi jurucakap kumpulan ini dengan berkata mereka tidak berniat untuk menghina sesiapa. Sudah tentu selepas lawatan ke tempat itu dan kenyataan Menteri yang sedemikian rupa, maka siasatan polis juga mungkin selesai begitu sahaja selepas ini. Jika pergaduhan kaum berlaku atas provokasi kumpulan kepala lembu itu, apakah Hishammuddin berani bertanggungjawab?

Pada zaman penjajahan dahulu, iaitu sebelum UMNO bermaharajalela di negara ini, Masjid Kapitan Keling telah dibina di sebelah kuil Hindu Arulmigu Mahamariamman di Pitt Street di Pulau Pinang. Di hadapan masjid itu pula ada gereja Kristian St George’s Church. Orang Islam masa itu bila sembahyang di masjid itu tidak pula rasa tersinggung atau goyang iman mereka. Mereka tidak pula menyembelih lembu dan berarak membawa kepala lembu serta memaki hamun kaum dan agama lain. Yang berkuasa di Pulau Pinang pada zaman itu adalah orang Kristian. Mereka berhak untuk melarang pembinaan Masjid Kapitan Keling dan kuil Hindu di sebelah gereja mereka. Kuasa ada pada mereka. Mereka boleh memberi alasan kononnya mereka tersinggung dann terguris hati jika masjid dan kuil dibina di sebelah gereja mereka. Mereka boleh berkata sembahyang mereka tidak sempurna atau tidak diterima Tuhan kalau ada masjid dan kuil yang berdekatan dengan gereja mereka. Tetapi penjajah Inggeris tidak pula berbuat demikian. Malah dekat situ juga ada kuil Kuan Yin Teng untuk orang Cina. Nampaknya pada zaman dulu, manusia Malaya boleh hidup saling hormat-menghormati antara satu sama lain. Masa itu orang Melayu Malaya tidak perlu dibawa ke seminar khas Biro Tata Negara untuk menginsafkan mereka tentang nasib agama dan bangsa. Masa itu tidak ada Utusan Malaysia yang mana pengarangnya seperti Zainuddin Maidin dan anak-anak didiknya telah mengajar orang Melayu supaya membenci kaum dan agama lain.

READ MORE HERE



Comments
Loading...