Tapak Kuil Seksyen 23 Shah Alam (Explanation Revisited)


By Khalid Samad

Baru-baru ini, banyak betul yang kita dengar berhubung isu tapak kuil yang dicadangkan di Seksyen 23, Shah Alam. Yang tahu, yang tak tahu dan yang buat-buat tahu, semuanya turut sama mengemukakan pandangan masing-masing. Di antaranya, pandangan Noh Omar yang menyatakan bagaimana kerajaan PR tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam.

Oleh itu, bagi mereka yang ingin tahu, izinkan saya menceritakan serba sedikit perkara sebenar berkenaan isu ini. Tapak Kuil yang dicadangkan adalah di kawasan Industri, lebih 200 meter dari kawasan perumahan. Sebuah Kuil yang sekarang ini berada di Seksyen 19 akan dipindahkan ke tapak baru yang dicadangkan ini. Di Seksyen 19, kuil berkenaan hanya berjarak 20 kaki dari kawasan perumahan! Buka pintu rumah, seberang jalan terdapat kuil.

Sebenarnya, kuil Seksyen 19 telah berada di situ sejak zaman sebelum wujudnya Shah Alam lagi. Pada masa itu kawasan di mana kuil tersebut dibina dinamakan Ladang Sungai Renggam. Apabila PKNS ambil-alih, maka dijadikan kawasan perumahan. Semasa membina dan menjual rumah-rumah di Seksyen 19, PKNS tidak menunjukkan kuil tersebut di dalam pelan mereka. Sebaliknya yang ditunjuk adalah rumah-rumah teres dua tingkat.

Maka, para pembeli rumah sekitar kuil tersebut, 80% dari mereka yang merupakan orang Melayu Islam pun terperanjatlah apabila berpindah ke rumah baru mereka dan mendapati kuil masih berada di situ. Sedangkan mereka diberitahu bahawa kuil tersebut akan dipindahkan. Malangnya, PKNS di bawah pemerintahan Kerajaan Negeri UMNO/BN, tidak menunaikan janji mereka dan tidak juga bertanggung-jawab dalam soal ini. Kalau diusahakan pada ketika itu, masih terdapat banyak kawasan lapang, maka perancangan yang lebih sesuai dan tepat dapat dilaksanakan.

Seperti yang diduga dan sepertimana biasa, kerajaan BN tidak melakukan apa-apa. Penduduk terpaksa bersabar selama 26 tahun, menagih janji dari PKNS dan kerajaan BN Selangor, sehinggalah naiknya kerajaan PR. Kami mengusahakan dengan serius dan bersungguh-sungguh sehingga terhasilnya cadangan kuil Seksyen 19 dipindahkan ke Seksyen 23.

Sepatutnya Noh Omar mencerminkan diri sebelum mengeluarkan pendapatnya. Takut-takut meludah ke langit, terjatuh ke muka sendiri. Siap dengan kahak lagi! Sekiranya tapak di Seksyen 23 mahu dikatakan tidak peka dan tidak sensitif, kedudukan di Seksyen 19 mahu dipanggil apa? Mendera? Menyeksa? ataupun derhaka?

Kalau ikut kehendak masyarakat Hindu yang juga merupakan rakyat negeri ini, mereka ingin kuil tersebut kekal sahaja di situ. “Inilah tapak asal kami, sepatutnya PKNS mengambil kira kehadiran kuil kami di sini semasa merancang pembangunan kawasan Shah Alam”, kata mereka. Tetapi apa boleh buat, nasi sudah pun menjadi bubur, mereka amat menyesal mengundi BN sejak dari dulu lagi. Akhirnya hasil perbincangan yang waras, mereka sanggup bertolak ansur. Sanggup berpindah, asalkan tidak terlalu jauh. Kuil ini dikunjungi penganut Hindu dari Seksyen 19, 20 dan 23.

Oleh itu, PKNS ditugaskan untuk mencari tempat yang sesuai. Tapak yang dicadangkan adalah seperti yang dinyatakan. Cadangan dikemukakan kepada MBSA dan seterusnya kepada Exco kerajaan Negeri. Semua menganggap ianya sesuai dan masalah di Seksyen 19 di mana suasana diperhangatkan oleh NGO Melayu/UMNO seperti Pewaris, perlu diselesaikan dengan segera.

Ini yang perlu kita perlu fahami. Tapak di Seksyen 23 bukan untuk kuil baru. Ianya adalah untuk memindahkan kuil yang sedia ada di Seksyen 19. Kedudukannya tidak terlalu hampir dengan kawasan perumahan, di mana terdapat Dewan orang ramai dan juga sebuah padang permainan di antara tapak kuil tersebut dengan kawasan perumahan. Ianya merupakan kawasan Industri. Kalau kilang boleh diletakkan di situ tanpa sebarang bantahan dari penduduk, mengapa tidak kuil? Sedangkan jarak kawasan Industri dari perumahan sudah mengambil kira terlebih dahulu semua aspek yang wajar dipertimbangkan.

Saya faham ada yang ingin mempolitikkan isu ini. Memang suku sakat Ketua Bahagian UMNO duduk di situ. Saya rasa Najib kena ‘mendidik’ ahli UMNO. Kikis semangat perkauman yang sempit yang diasaskan selama ini. Adakah beliau mampu lakukannya? Adakah beliau ingin lakukannya? Najib ke Batu Caves dengan begitu gah ceria, 1Malaysia katanya. Kita ingin lihat sejauh mana falsafah Najib difahami ahli partinya sendiri atau ianya semua hanya satu sandiwara untuk mengaburi mata rakyat?

Seorang penduduk Seksyen 23 memberitahu saya, “Jangan layan sangat YB, puak-puak ini, bukan sekadar kuil mereka bantah. Buat kuliyyah di Surau pun mereka bantah juga”.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

Read at: Tapak Kuil Seksyen 23 Shah Alam



Comments
Loading...