Hey, the Malays are united – united against the ISA


 

Bersatulah bangsa Melayu! Setiap orang Islam adalah saudara kita. Fikirkanlah. Jangan terlalu taksub dengan fahaman politik masing-masing. Berfikir dan bertindaklah secara waras. – Kelab Penyokong Maya UMNO

NO HOLDS BARRED

Raja Petra Kamarudin

{youtube}hXn_fWB3KWo{/youtube}

See the video on YouTube here: http://www.youtube.com/watch?v=hXn_fWB3KWo

*************************************************

Bersatulah bangsa Melayu!
Kelab Penyokong Maya UMNO

Di saat ini, perbalahan sesama bangsa Melayu berada di tahap kritikal. Punca utama adalah perbezaan fahaman politik. Budaya berpuak-puak semakin berleluasa sama ada di bandar mahupun di kampung. Pergolakan ini dilihat oleh orang lain dan mereka gembira melihat kita bersengketa sesama sendiri.

Perpecahan ini amat bahaya yang akan membinasakan bangsa kita sendiri. Pepatah mengatakan ‘Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh’. Bangsa kita sekarang sedang ditertawakan orang lain kerana kita lemah sebab tidak bersatu. Kita seolah-olah sudah hilang kekuatan kerana ikatan kita amat longgar dan akan roboh bila-bila masa sahaja. Raja-Raja Melayu diperlekehkan oleh bangsa kita sendiri. Orang lain tersenyum gembira melihat kebodohan yang dijelmakan oleh bangsa kita sendiri.

Masa telah sampai. Semboyan telah berbunyi. Gendang telah dipalu. Orang Melayu perlu bertindak untuk menyatukan semula bangsa kita yang kita cintai dan agama Islam yang kita anuti. Kesemua peringkat usia, sama ada golongan terpelajar, golongan ahli agama, pemimpin-pemimpin politik, pelajar, pendidik, golongan petani dan apa-apa sahaja golongan dari kelompok Melayu perlu mulakan gerakan ke akar umbi menyatukan semula puak-puak yang bertelagah ini demi agama dan bangsa.

Janganlah hanya mempunyai sikap membisu dan melihat sahaja tanpa melakukan tindakan demi penyatuan bangsa. Kita kena bertindak. Bukan masanya untuk kita menuding jari menyalahkan puak lain.

Tempat berkumpul bagi menyusun program penyatuan hendaklah kita mulakan di masjid atau pun surau. Kita tinggalkan fahaman politik masing-masing apabila berada di masjid atau surau. Kita hidupkan jemaah dan kita bina semula kekuatan. Peranan masjid atau surau kita kembalikan seperti di zaman Rasulullah s.a.w.

Sejarah para pahlawan Melayu dahulu perlu diceritakan kepada generasi muda. Usaha ini mesti berterusan dan tiada penghujung. Pastinya perjuangan kita akan disanjung oleh generasi akan datang. Kitalah yang bertanggungjawab memastikan agama Allah terpelihara dan bangsa kita bersatu, kuat dan tidak boleh diperlekehkan orang lain. Kita kembalikan kedudukan raja kita yang kita sayangi di tempat yang sepatutnya.

Satu semangat juang yang tinggi perlu ada pada setiap orang Melayu. Kita kumpulkan rakan-rakan berlainan fahaman politik untuk membentuk satu jemaah demi agama dan bangsa Melayu. Ibu bapa juga memainkan peranan sebagai penasihat terbaik kepada anak-anak. Ceritakanlah kepada mereka sejarah zaman dahulu dan pupukkan semangat cintakan agama dan bangsa.

Kepada para pemimpin politik, berdamailah. Semua orang Melayu melihat anda. Adakah cukup sekadar ungkapan atau slogan tanpa diterjemahkan dalam bentuk kenyataan? Ingatlah sejarah di zaman Rasulullah s.a.w. yang mana dua puak bersengketa bersatu, iaitu kaum Ansar dan Muhajirin. Setiap orang Islam adalah saudara kita. Fikirkanlah. Jangan terlalu taksub dengan fahaman politik masing-masing. Berfikir dan bertindaklah secara waras.

Kepada golongan ahli agama, berilah teladan yang baik kepada kami. Bimbinglah, nasihatilah. Kepada YB atau wakil rakyat, tidak kira apa parti anda, dampingilah orang Melayu, bantulah mereka jika mereka perlukan bantuan tanpa mengira parti. Parti hanyalah sebagai wadah perjuangan.

Saya menyeru kepada semua umat Melayu yang beragama Islam yang amat saya sayangi, kita buka lembaran baru yang pastinya akan menjadi satu sejarah yang paling indah. Jadikan isu “bagaimana untuk menyatukan semula orang-orang Melayu” sebagai topik perbualan kita walau di mana kita berada.

ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri mengubah nasibnya. Itu janji Allah. Kita tunaikan tanggungjawab kita. Kita jadikan bangsa kita bangsa yang bermaruah, kuat pegangan agamanya, kuat dari segi fizikal juga mental, bersatu serta mempunyai semangat juang yang tinggi.



Comments
Loading...