Dr Chandra perlu sedia maklumat kepada Anwar – Hakim


(Bernama) – Tokoh akademik Dr Chandra Muzaffar, yang dikenakan saman fitnah RM10 juta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu mengemukakan maklumat lanjut dan terperinci mengenai 64 persoalan kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu selepas membenarkan sebahagian daripada rayuan Chandra.

Peguam Anwar, S.N Nair memberitahu pemberita di sini berikutan dengan keputusan itu hari ini, Chandra perlu mengemukakan maklumat dalam tempoh 10 hari mulai hari ini.

Katanya jika Chandra gagal berbuat demikian, Anwar akan memfailkan permohonan membatalkan kenyataan pembelaan Chandra dan memperoleh penghakiman ingkar.

Chandra merayu terhadap keputusan terdahulu oleh Penolong Pendaftar Kanan mahkamah mengarahkannya menyediakan maklumat lanjut dan terperinci terhadap 66 daripada 81 persoalan yang dikemukakan oleh Anwar.

Zabariah membenarkan sebahagian daripada rayuan Chandra dengan menolak dua daripada persoalan tersebut.

Anwar mengemukakan saman pada 6 Mac tahun lepas terhadap Chandra iaitu Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST) kerana didakwa telah membuat komen berunsur fitnah terhadapnya dalam satu forum anjuran Star Publication Berhad pada 3 Mac tahun lepas.

Chandra diwakili oleh peguam Mohd Zaharudeen Harun.



Comments
Loading...