Tujuh siswa korban anti-ISA era tiga perdana menteri


Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendapati lima aktivis mahasiswa bersalah atas pertuduhan menyertai perhimpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Masjid Negara, Jun 2001.

By Amin Iskandar

Rafzan Ramli, Khairul Amal Mahmud, Ahmad Kamal Abdul Hamid, Nik Norhafizi Nik Ismail dan Zulkefle Idris didenda RM 3,900 setiap seorang atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.

Sementara dua lagi yang dituduh, Herman Shamsudeen yang kini aktif bersama Pemuda PAS dilepaskan, manakala seorang lagi Wan Sanusi Wan Mohd Noor tidak dapat dikesan sejak mereka dipanggil untuk membela diri.

Gerakan Reformasi susulan pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim mulai 20 September 1998 menyebabkan politik negara bergolak.

Pergolakan ini, yang menyeret ribuan anak muda ke jalan-jalan raya, berterusan tanpa henti-henti walaupun selepas pilihanraya umum setahun kemudian.

Pada 2000, Gerakan Reformasi meneruskan kempen bantahannya – menjelang dan selepas Anwar didapati bersalah kes kedua pada Ogos tahun itu – sehingga pilihanraya DUN Lunas mencetuskan rasa gerun kepada BN dan kerajaan pada waktu itu.

Kerusi negeri itu yang selama ini dikuasai dengan selesa oleh BN berjaya dirampas oleh calon PKR (dulu dikenali Parti Keadilan Nasional) Saifuddin Nasution Ismail dalam persaingan penuh sengit dan drama.

Kemenangan itu membakar semangat Gerakan Reformasi dan penyokong pakatan pembangkang, dulu dikenali Barisan Alternatif, untuk mengasak perdana menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga awal 2001 muncul pula isu rundingan tertutup antara PAS dan Umno.

Tidak mempedulikan agenda melaga-lagakan pembangkang melalui agenda muzakarah Umno-PAS, Gerakan Reformasi meneruskan perhimpunan besar pada 14 April, yang popular digelar “Gelita 14″, ulang tahun kedua pemenjaraan Anwar.

 

Gelombang besar, sekali lagi

Namun bantahan itu tidak menjadi kenyataan apabila 10  orang aktivis utamanya, termasuk pemimpin Pemuda PKR, seperti seperti Saari Sungib, Ezam Mohd Noor, Hishamuddin Rais, Lokman Noor Adam, Tian Chua dan Raja Petra Kamaruddin ditahan bawah ISA.

Lalu ia mencetuskan gelombang besar, sekali lagi, untuk menentang ISA melalui Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) – gabungan puluhan NGO dan Barisan Alternatif – seperti yang dikenali sekarang. Sementara gerakan siswa pula menubuhkan cabang penentangannya sendiri melalui Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA (GMMI).

Perkumpulan pelajar kecil dan besar seperti Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Front Anak Muda Untuk Demokrasi (Fraksi), Universiti Bangsar Utama (UBU), Pergerakan Demokrasi pelajar dan Pemuda Malaysia (Dema), Gabungan Mahasiswa Wangsa Maju (GMWM), Gerakan Mahasiswa Lantang Negara (GMLN), Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Jawatankuasa Mahasiswa Mahasiswi (JKMM) menyertai GMMI.

Serentak dengan program penentangan GMI yang meluas di seluruh negara mulai April 2001, GMMI pula menganjurkan satu perhimpunan untuk membantah ISA.

Pada 8 Jun 2001, sebaik sahaja selesai solat Jumaat, beberapa ratus pelajar dalam gabungan GMMI berhimpun secara aman di luar Masjid Negara sehinggalah polis bertindak menyuraikannya dan menahan tujuh orang mahasiswa.**

Tujuh pelajar itu, yang digelar “ISA 7″, yang sedang menuntut di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara direman selama satu hari dan dibuang dari kampus masing-masing tidak berapa lama selepas itu.

Perbicaraan awal mendapati mereka semua tidak bersalah dan dibebaskan.

Namun Pejabat Peguam Negara tidak berpuas hati dengan keputusan itu – walaupun banyak kes perhimpunan haram era Reformasi tidak dilangsungkan atau dilepaskan (DNAA) setelah perbicaraan seketika – dan akhirnya berjaya memaksa ketujuh-tujuh aktivis ini dibicarakan sekali lagi.

Selepas genap lapan tahun, semalam 18 Jun 2009, mereka berlima yang sudah tidak lagi bergelar mahasiswa dan mungkin tidak lagi bergiat aktif dalam aktivisme politik didapati bersalah oleh mahkamah.

Semalam demokrasi Malaysia dirundung malang – membukti sejauh itu negara sanggup menindas anak muda yang tidak bersalah demi memadamkan (dengan harapan) api amarah kebangkitan rakyat.

Read more at: http://aminiskandar.wordpress.com/2009/06/19/tujuh-siswa-korban-anti-isa-era-tiga-perdana-menteri/



Comments
Loading...