Dibayangi Dr M, Najib lebih lemah berbanding Abdullah?


(Hrkh) – Kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak kini dibayangi Tun Dr Mahathir Mohammad (Dr M) hingga banyak keputusan dipengaruhi bekas Perdana Menteri itu.

Demikian telahan, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kepada Harakah dalam satu wawancara bersamanya baru-baru ini.

"Jika mahu dibandingkan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini pun yang dikatakan lemah, sebenar pada hakikatnya Najib jauh lebih lemah berbanding Abdullah.

"Abdullah jauh lebih boleh berdikari sebab mampu bebaskan dirinya daripada pengaruh Tun Mahathir dan cuba membawa arah yang lebih terbuka berbanding cara Mahathir dahulu," kata Khalid.

Sementara Najib pula sejak hari pertama menjadi PM lagi, beliau telah berpaut dan bertongkat kepada Mahathir, katanya.

Perkara ini menunjukkan kepada seluruh rakyat bahawa Najib lemah dan tiada wawasan jelas, tegasnya.

Sementara dari segi sejarah perjuangan kata Khalid, Najib tidak pernah menempuh atau diuji dengan kesusaan.

Sebaliknya Najib sentiasa dapat laluan mudah dan dipimpin oleh seniornya, katanya.

"Apabila Najib jadi PM keyakinan dirinya pun tak jelas kelihatan sementara prestasi dalam Parlimen pun mendukacitakan.

"Dari segi kepimpinan kabinetnya tidak nampak ada perubahan atau wawasan baharu atau 'line up' yang ada wibawa yang semuanya dengan sikap yang lama dalam pelantikan itu yang begitu jelas," katanya.

Paling ketara sikap kronisme menyebabkan Khairy Jamaluddin yang menang Ketua Pemuda dipinggirkan sebaliknya, Dato' Mukriz Mahathir yang kalah dipilih selaku Timbalan Menteri, katanya.

Tindakan ini menampakan pengaruh Mahathir dan perbalahan serta budaya kronisme berterusan dalam pelantikan kabinetnya, katanya.

Justeru Khalid menyimpulkan bahawa apa yang dilakukan Najib hari ini dengan liabiliti yang ditanggungnya hanya akan mempercepatkan proses 'hancurnya' Umno/BN.



Comments
Loading...