Remember this?


Keputusan pembebasan Tee Yam dibuat oleh panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Richard Malanjum dan Datuk S. Augustine Paul. Tee Yam diwakili barisan peguam diketuai Datuk Muhammad Shafee Abdullah, Kaushalya Rajathurai, Frida Krishnan dan Lilian Lee.

NO HOLDS BARRED

Raja Petra Kamarudin

KOO TEE YAM (kanan) bersama peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah (tengah), sempat melambaikan tangan ketika ditahan semula oleh polis sebaik sahaja dibebaskan dari Penjara Simpang Renggam, Kluang, Johor semalam.


Jutawan yang dipercayai memiliki aset bernilai RM1 bilion yang mencetuskan kontroversi apabila enggan keluar dari Penjara walaupun telah dibebaskan oleh mahkamah, hari ini ditahan semula di bawah Ordinan Darurat 1969.

Koo Tee Yam, 48, ditahan semula sebaik melangkah keluar dari penjara Simpang Renggam, Kluang, Johor ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan yang membebaskan beliau pada 19 Oktober lalu selepas permohonan habeas corpusnya didengar.

Dia sebelum ini ditahan di sebuah restoran di Bukit Bintang di sini pada 26 Mac tahun lalu sebelum dipenjarakan di Simpang Renggam, Kluang, Johor.

Keputusan pembebasan Tee Yam dibuat oleh panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Richard Malanjum dan Datuk S. Augustine Paul.

Bagaimanapun, Tee Yam yang sepatutnya dibebaskan Rabu lalu, dilaporkan enggan meninggalkan pusat tahanan di Simpang Renggam itu kerana bimbang ditahan semula oleh pasukan polis dari Bukit Aman.

Kebimbangan itu menjadi kenyataan apabila Tee Yam yang dibebaskan pada pukul 1.30 petang ini, diberkas semula mengikut Ordinan Darurat 1969 sebaik sahaja melangkah keluar dari kawasan penjara.

Seorang pegawai polis, Asisten Supritendan Zabidi Kadir Mohamad membacakan waran tangkap kepada lelaki itu sebelum dia dibawa masuk ke dalam van polis.

Ketika dibebaskan, Tee Yam yang memakai baju-T belang hijau, seluar coklat dan kasut hitam, sempat mencium dan memberikan sesuatu kepada isterinya, Chia Mei Sim sebelum waran tangkap terhadapnya dibacakan.

“Saya berada di sini (Penjara Simpang Renggam) selama 17 bulan. Apa salah saya,'' tanya beliau dalam bahasa Kantonis kepada pemberita dan orang ramai yang telah berkampung di luar penjara itu sejak lima hari lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Fauzi Saari memberitahu Mingguan Malaysia: “Dia (Tee Yam) dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan haram seperti pelacuran, kongsi gelap, perjudian, kelab malam dan ah long yang mampu mengancam keselamatan orang ramai.

“Polis menahan lelaki itu atas dasar keselamatan negara.''

Katanya lagi, jutawan itu ditahan selama 60 hari di bawah ordinan tersebut.

Penahanan Tee Yam katanya, adalah sebagai jaminan keselamatan masyarakat umum.

Peguam Tee Yam, Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang turut berada di luar penjara itu berkata, ahli perniagaan itu ditahan atas empat sebab iaitu menganggotai kumpulan kongsi gelap, terlibat dalam aktiviti mencurigakan, kegiatan jenayah dan perkara yang berkaitan.

“Bagaimanapun, Seksyen 4(1) ordinan itu membenarkan Menteri Keselamatan Dalam Negeri menahan Tee Yam sehingga dua tahun selepas ditahan selama 60 hari,'' katanya.

Lelaki itu yang juga merupakan seorang ahli perniagaan dipercayai memiliki aset bernilai RM1 bilion, kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk membuat laporan polis.

Tee Yam kemudian dibawa terus ke Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Mohd. Fauzi berkata, sepanjang tempoh penahanan 60 hari itu, polis akan mendapatkan perintah daripada menteri berkenaan supaya penahanan Tee Yam dilanjutkan dua tahun lagi.

Tee Yam pernah melalui lima proses perbicaraan dan mengemukakan rayuan melalui Muhammad Shafee di Mahkamah Tinggi Muar pada 24 Mei sehingga 7 Julai lalu.

Dalam rayuan bagi permohonan habeas corpus di Mahkamah Persekutuan, Tee Yam diwakili barisan peguam diketuai Muhammad Shafee, Kaushalya Rajathurai, Frida Krishnan dan Lilian Lee.

Pihak responden diwakili oleh Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Datuk Yusof Zainal Abiden, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Kamaluddin Mohd. Said, Mohd. Najib Zakaria, Fazillah Begum Abd. Ghani dan Tengku Amri Zaki Tengku Abdul Rahman.

Muhammad Shafee dalam hujahnya antara lain mengemukakan alasan mala fide (niat jahat) dari mula Tee Yam ditahan oleh polis sehingga 60 hari tempoh penahanan yang dibenarkan, dan tidak mengikut peraturan seperti dinyatakan oleh Lembaga Penasihat. – Utusan Malaysia, 30 Oct 2005



Comments
Loading...