Umno hilang upaya tarik simpati rakyat


(Hrkh) – Umno dan Barisan Nasional (BN) kini 'hilang upaya' bagi mempertahankan kerajaan yang dikuasai mereka sekarang memandangkan isu pembangunan dan projek sudah ditolak rakyat.

Taktik yang dipertahankan sejak merdeka ternyata ditolak rakyat terutamanya golongan muda berdasar petunjuk pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Permatang Pauh dan pilihan raya umum lalu.

Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua berkata, selama ini BN hanya menggunakan senjata pembangunan dan projek segera setiap kali menghadapi pilihan raya bagi menarik simpati rakyat.

"Kempen pembangunan sudah tidak terkesan lagi di hati rakyat. Politik ugut dan umpan itu sudah ketinggalan zaman. Apa yang rakyat mahu ketelusan pemimpin dan parti yang diwakilinya.

"Isu pembangunan menjadi propaganda yang diulang-ulang pada setiap kali pilihan raya diadakan," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Batu berkata, selepas menyedari taktik tersebut kurang mendapat sambutan, mereka cuba pula mempermainkan sentimen bersikap perkauman.

"Dalam kempen BN di Kuala Terengganu baru-baru ini, mereka menghasut orang Tionghua supaya menentang hudud yang dibawa PAS. Dan PAS pula dianggap ekstrem.

"Manakala ketika berkempen di kawasan orang Melayu pula Umno mendakwa PAS sudah lupa janjinya mahu melaksanakan hudud.

"Inilah sikap talam dua muka yang diamalkan pemimpin Umno dan BN sehingga akhirnya mereka ditolak rakyat di Kuala Terengganu," ujarnya.

Beliau juga yakin rakyat semakin cenderong kepada Pakatan Rakyat selepas melihat sendiri kejayaan mentadbir lima negeri sekarang.

Menurutnya keadaan itu cukup merimaskan pemimpin Umno dan BN sekarang, lebih-lebih lagi bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Pensiangan, Sabah tidak lama lagi.

Selain itu, mereka juga cukup bimbang bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak sama ada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Beliau juga mencadangkan Menteri Luar mengambil langkah yang konsisten bagi menentang keganasan yang berlaku di Palestin dan Sri Lanka sekarang.

"Pakatan Rakyat juga mengambil satu pendirian yang tegas dalam isu ini. Kita selama ini konsisten menyokong perjuangan bagi menegak keadilan," katanya.



Comments
Loading...