Kes dua Adun KeADILan, Anwar dakwa Najib terbabit


Anwar Ibrahim, HARAKAH

SEMALAM saya di Bukit Mertajam, Machang Bubok, Penanti dan Seberang Jaya. Ada majlis Kong Xi Fa Cai, pelancaran cawangan parti, majlis perkahwinan dan jamuan. 

Pastinya sibuk lantaran drama "kehilangan" dua ADUN Perak. Maka majlis terganggu dengan deringan telefon dari pimpinan KeADILan Perak, Menteri Besar Dato' Seri Nizar Jamaluddin dan pimpinan PAS serta Ketua Menteri Lim Guan Eng dan pimpnan DAP.

Semua keenam-enam ADUN Perak termasuk Dato' Nasaruddin menemui saya di Yayasan Aman, Penanti. Sikap dan pendirian tegas mereka dihargai.

Ulasan saya mengenai episod terbaru:

Pertama, babak kehilangan menggerunkan kerana mengingatkan tragedi Altantuya dan detektif Bala yang ada kaitannya dengan tokoh yang sama. Dalam babak terbaru ini, Dato' Seri Najib terlibat secara langsung!

Malah dalam ucapan menyambut kemenangan calon PAS Kuala Terengganu, saya telah menjangka tindakan lebih ganas oleh pimpinan Umno-BN. Jika ikhlas dan benar pendirian mereka, mengapa harus menghilangkan diri? Bedakan dengan pendirian Dato' Nasa di Bota!

Kedua, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kongkalikong mengalu-alukan kehadhiran mereka ke dalam Umno walhal beliau dan kelompoknya membebel soal tidak bermoralnya langkah tersebut!

Ketiga, apakah lompatan terbaru melibatkan sogokan wang dan ugutan pendakwaan rasuah yang terdahulu? Dato' Seri Najib perlu menjawab kerana penglibatan beliau memujuk kedua ADUN tersebut.

Akhirulkalam, kita yakin insya-Allah dengan suara rakyat. Jentera kita harus bersedia bertarung di gelanggang Perak.



Comments
Loading...