Kekalahan BN di KT akan berulang di Behrang, Changkat Jering


(Hrkh) – Kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu akan berulang jika pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Behrang dan Changkat Jering diadakan, kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Trend sekarang ialah trend menolak Umno dan Barisan Nasional. Rakyat tidak mahu apa yang dibimbangi oleh (bekas Perdana Menteri, Tun) Dr Mahathir (Mohamad) akan berlaku di mana beliau berkata, kita akan dapat kerajaan Umno yang tidak bermoral dan rasuah selepas pemilihan Umno Mac ini jika orang yang diketahui umum terlibat dengan rasuah dipilih," katanya.

Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V Sivakumar berkata beliau telah menerima surat peletakan jawatan dari Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Behrang, Jamaluddin Mat Radzi dan Adun Changkat Jering, Osman Jailu.

Bagaimanapun, Jamaluddin menafikan mereka meletakkan jawatan.

Menurut laporan The Star Online, beliau juga mencabar kesahihan surat peletakan jawatannya itu.

Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan surat tidak bertarikh yang mana beliau dan enam lagi Adun PKR diminta tandatangani pada Mac tahun lalu.

Katanya, surat itu hanyalah satu ikrar taat setia, yang menyatakan jika mereka (Adun) keluar dari PKR, maka mereka akan secara automatik mengosongkan kerusi masing-masing.

"Saya masih Adun Behrang," Jamaluddin dipetik sebagai berkata.

Mengulas penafian Jamaluddin itu, Mahfuz berkata, jika surat tersebut telah ditandatangani dan ia jelas menyebutkan pengosongan kerusi, kedua-duanya dengan sendirinya terlucut jawatan mereka.

"Eloklah mereka mengosongkan kerusi kerana mereka tidak menjalankan tugas dengan baik. Mereka hilang berhari-hari tanpa dapat dikesan ketika Perdana Menteri menyatakan ada kemungkinan Adun dari Pakatan Rakyat (PR) di Perak akan menyertai BN.

"Kita amat yakin BN menyambut baik pengosongan kerusi kedua-dua Adun itu kerana para pemimpin mereka jugalah yang sebelum ini mahu supaya wakil rakyat yang melompat parti supaya mengosongkan kerusi.

"Sekarang sudah terlaksana. Kita yakin BN pasti akan menyambut baik perkembangan ini," katanya.

Anak kepada Jamaluddin pula mendakwa bapanya mungkin menjadi wakil rakyat Bebas.

Sebuah akhbar tempatan melaporkan, Ali, 25, mendakwa bapanya tidak akan menyertai BN seperti dilaporkan media.

Ketika ditemui pemberita di pejabatnya, di sini, hari ini, Ali juga mengesahkan keluarganya tidak dapat menghubungi Jamaluddin sejak Isnin lalu.



Comments
Loading...