Damai Malaysia disifatkan telah berjaya menipu lebih 70 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mewakili lebih 200,000 rakyat Sabah dalam Majlis Perjumpaan Bersama NGO Sabah di Hotel Le Merridian pada 27 Disember 20007 untuk menzahirkan sokongan menentang budaya demonstrasi jalanan.
Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan (Cash), Datuk Patrick Sindu yang turut hadir dalam perjumpaan berkenaan kesal kerana Damai Malaysia telah memperguna NGO di Sabah untuk kepentingan tersirat mereka, termasuk agenda politik dangkal pihak yang berselindung di sebalik Damai Malaysia.“Kita tidak tahu apa tujuan sebenar mereka menjemput NGO dan tanpa sebarang perbincangan dan dalam masa yang sama kita diminta menyokong Damai Malaysia. Ini perbuatan yang bertentangan dengan Perlembagaan,” ujar Patrick yang meninggalkan majlis berkenaan sebagai membantah tindakan Damai Malaysia.
Menurut Patrick, beliau merasa tertipu kerana setiap peserta majlis berkenaan diminta menandatangani borang penyertaan dan menurunkan cap rasmi NGO yang kemudiannya digunakan sebagai sokongan terbuka kepada usaha Damai Malaysia.
“Kita tidak pernah menyokong Damai Malaysia dan kita bukan ahli Damai Malaysia. Kita dijemput hadir dan kita datang. Tetapi apabila tujuannya tidak jelas dan mempunyai agenda yang tersirat, saya menggunakan hak saya untuk meninggalkan majlis berkenaan,” ujar Patrick yang kesal jika benar dakwaan sesetengah pihak bahawa majlis berkenaan dibiayai Bahagian Keselamatan Negara (BKN) yang berselindung di sebalik Persatuan Sama Sabah (PSS).
Perbuatan Pengerusi Damai Malaysia di Sabah, Haji Abdullah Sibil, kata Patrick, menipu dan memerangkap NGO Sabah untuk kepentingan tersirat beliau sendiri tanpa memikirkan usaha berkenaan boleh menimbulkan ketegangan kaum.
{mosimage}
HARAM…. Demonstrasi Berdarah 1986 di Sabah ditaja oleh pemimpin USNO dan Berjaya yang enggan mengaku mereka telah ditolak rakyat sehingga mengupah pendatang asing tanpa izin membuat huru-hara, anehnya polis pun turut serta dalam perhimpunan haram berkenaan.
“Kita memang menentang budaya demonstrasi jalanan, tetapi ianya bukan menjadi budaya di Sabah. Yang perlu kita kutuk ialah Rusuhan yang berlaku di Sabah sekitar 1986 kerana tidak demokratik dan cuba menggantung perlembagaan,” ujar Patrick yang menyifatkan dua pertiga daripada NGO yang hadir pernah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam demonstrasi jalanan berkenaan kerana terpedaya dengan muslihat politik pemimpin Usno dan Berjaya ketika itu.
Tegas Patrick, Damai Malaysia tidak boleh menuding jari kepada 13 orang anggota Bersih yang dituduh mengadakan perhimpunan jalanan sedangkan niat mereka hanyalah menunggu ketibaan Penasihat Bersih, Sivarasa Rasiah dan telah berjaya menyampaikan memorandum Bersih ke Istana Negeri tanpa sebarang insiden bukan seperti Insiden Berdarah 1986.
“Kita perlu menghormati mereka dan memberikan mereka hak menurut perlembagaan untuk berhimpun secara aman dan menyerahkan memorandum kepada Istana Negeri,” ujar Patrick yang menggesa agar polis tidak menyalahguna kuasa dan menimbulkan suasana yang tidak mesra, aman dan harmoni di Sabah.
Kata Patrick, 13 orang anggota Bersih tersebut dalam perjalanan dari Padang Bandaran menuju ke Istana Negeri tetapi mereka ditahan polis yang dikerah mengawal Padang Bandaran dan dituduh mengadakan perhimpunan haram.
“Kita bukan menyokong tindakan mereka, tetapi kita meminta agar polis tidak mengganggu rakyat Sabah yang mempunyai niat suci murni. Saya sendiri pernah hantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Istana Negeri bersama ahli Cash, tetapi kami bukanlah mengadakan perhimpunan haram atau demonstrasi jalanan,” ujar Patrick yang meminta agar semua pihak jangan mentafsir maksud demonstrasi jalanan mengikut terminologi mereka sendiri.
Menurut Patrick, rakyat Sabah telah hidup secara aman damai sejak sebelum merdeka dan terlalu bertolak ansur sehingga mereka tertindas dan ditindas melalui dasar pecah dan perintah sehingga mereka tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kerajaan pilihan mereka sendiri.
Sehubungan itu, Patrick mengutuk pihak yang menimbulkan kekacauan dan menghina Perlembagaan Persekutuan dengan menaja Demonstrasi Jalanan 1986 sehingga hampir mencetuskan rusuhan kaum dan Mageran jika Perdana Menteri Malaysia tidak bertindak cepat ketika itu.
“Seluruh rakyat Sabah tidak menyukai demonstrasi jalanan kerana mereka lebih cenderung melakukannya di peti undi. Tetapi pemimpin politik telah mengupah pendatang tanpa izin untuk menyertai perhimpunan jalanan sehingga mencetuskan huru-hara,” kata Patrick yang meminta Damai Malaysia tidak cuba menipu rakyat Sabah.
Tegas Patrick, Sabah mempunyai mekanisme mereka sendiri untuk menyampaikan rasa tidak puashati walaupun menerima layanan buruk daripada Kerajaan Persekutuan.
“Tetapi jika semua saluran disekat dan pilihan raya lambat lagi, maka adalah menjadi hak mereka untuk berhimpun secara aman membantah apa juga keputusan kerajaan yang menindas mereka seperti demonstrasi secara aman di Mount Pock dan Tanjung Nagus, Hutan Simpan Kalumpang dan sebagainya yang saya turut mainkan peranan,” ujar Patrick yang meminta semua pihak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Patrick menyifatkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah menjalankan tugas dengan sempurna, namun kerajaan seolah-olah enggan mengiktiraf Hak Asasi yang disuarakan Suhakam, termasuk hak untuk berhimpun secara aman.
“Saya rasa Damai Malaysia juga tidak tahu atau lupa Sejarah. Malaysia berdiri dengan adanya demonstrasi. Demonstrasi aman adalah sesuatu yang dijamin oleh Artikel 10, Perlembagaan Persekutuan,” ujar Patrick yang mengingatkan bahawa Akta Polis menetapkan bahawa semua perhimpunan perlu mendapatkan permit polis, namun Perlembagaan Negara menjamin hak demokrasi rakyat.
Tegas Patrick lagi, Perlembagaan Negaralah yang harus dijunjung kerana apa-apa Akta yang bercanggah dengan perlembagaan termasuk Akta Polis yang cuba dikuatkuasakan ke atas rakyat yang lemah adalah perbuatan ‘Mencabul Perlembagaan.’




















