DEB sudah bantu Bumiputera tetapi gagal, kata Dr Mahathir


(FMT) – Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diasaskan demi membantu Melayu dan Bumiputera disalahgunakan hingga merugikan bangsa itu sendiri, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri itu berkata, ia dapat dilihat apabila beberapa usaha dilakukan kerajaan bagi membantu Bumiputera seperti pemberian permit import (AP), tetapi ia dijual kepada pihak lain.

“Dahulunya bukan Bumiputera yang menguasai dan dapat memasuki peluang yang baik ini, maka kita wujudkan cara dan beri AP kepada Bumiputera, contohnya beri AP untuk import kereta terpakai.

“Ramai dapat AP dari kerajaan berniaga AP. Inilah yang berlaku, hakikatnya mereka dapat AP secara percuma dari kerajaan,” katanya dalam Kongress Bumiputera Nasional di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau menambah, disebabkan itu matlamat membantu Bumiputera dalam dasar DEB tidak mencapai matlamat seperti yang dicipta, kerana ada tabiat dari segelintir Bumiputera cuba kaut keuntungan dengan cepat.

“Tetapi yang berjaya adalah bukan Bumiputera, kalau faham apa yang saya katalah, kerana apa, ia disebabkan mereka menggunakan peluang apabila dapat beli kontrak kontrak dari orang Melayu.

“Sehinggalah mereka jadi jutawan, bangunkan bandar. Yang miskin harus tunduk pada yang kaya, kalau kita jadi pemandu kereta, adakah kita masih menjadi tuan atau yang belakang itu tuan.

“Tidak guna laung ketuanan Melayu, tetapi jadi kuli orang, bukannya tuan. Kita akan merosot lagi dan proses ini akan berterusan melainkan kita memasuki bidang perniagaan,” katanya.

Tambahnya, disebabkan DEB juga ramai menuduh pihak dilantik kerajaan untuk melaksanakan projek tertentu dianggap sebagai kroni bagi kerajaan.

“Mereka yang gagal dapat projek tertentu akan menganggap mereka yang berjaya ini pula sebagai kroni. Walhal mereka juga dapat peluang yang sama.

“Sedangkan mereka yang gagal ini berhutang kepada bank, ada masalah hingga menjadi bankrap, maka mereka tidak ditakrif sebagai kroni kerajaan. Kita senang hati tuduh mereka ini kroni.

“Kita tunjukkan rasa iri hati kepada mereka yang berjaya, sedangkan orang yang berjaya ini adalah orang yang berusaha.”

 



Comments
Loading...