Dasar pasaran terbuka punca Proton tidak berjaya


(Sinar Harian) – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dasar kerajaan terdahulu yang mengamalkan amalan pasaran terbuka dalam industri automotif membuatkan Proton tidak mampu untuk bersaing dengan kereta import.

Dalam pada itu, kata Dr Mahathir, kegagalan Proton untuk berdaya saing kerana turut disekat untuk memasuki beberapa negara pengeluar kereta import.

Jelasnya, dasar pasaran terbuka yang diamalkan kerajaan terdahulu tidak adil kepada Proton kerana disekat untuk memasarkan produk mereka.

“Kalau ikut pengguna sahaja, maka mereka buka kepada pasaran kereta asing di mana kereta ini boleh dijual dengan banyaknya di Malaysia. Dengan itu kereta Proton pun merosot.

“Dulu Proton kuasai 80 peratus pasaran tapi kini hanya 17 peratus sebab kita buka pasaran kepada negara-negara lain di mana mereka tidak membenarkan kereta kita masuk ke dalam pasaran mereka.

“Kita disekat di sana tapi kita buka pasaran yang luas kepada mereka,” katanya menjawab persoalan daripada peserta dialog sempena Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sebentar tadi.

Tambah beliau, dalam isu memperkasakan industri automotif, Malaysia perlu belajar daripada negara-negara pengeluar kereta seperti Jepun, Korea Selatan dan China.

“Sebenarnya negara seperti Jepun, China, Korea Selatan dan Eropah melindungi perusahaan mereka, kita di Malaysia yang cukup pegang kepada pasaran terbuka.

“Sebab itu hari ini kita lihat lebih banyak kereta asing daripada Proton. Itu terjadi kerana pilihan pengguna. Tetapi kalau kerajaan pula, kita ingin bangunkan negara kita,” katanya lagi.

 



Comments
Loading...