Skandal AES: Miros wajar disiasat?


Apakah benar lokasi-lokasi AES tersebut adalah lokasi majoriti berlakunya kemalangan atau lokasi kemalangan maut berdasarkan statistik dari Bahagian Trafik PDRM?

Dr Muhammad Faiz Na’aman, Malaysia Dateline

Kebencian rakyat Malaysia terhadap lokasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) selama ini ada kebenarannya. Rupa-rupanya ia lebih kepada elemen keuntungan yang berasaskan “bisnes” daripada niat sebenar untuk membantu mengurangkan kemalangan.

Manakan tidak, kedudukan setiap tiang AES tersebut boleh dikatakan majoritinya berada di kawasan lebuh raya yang lurus dan lebar, tempat di mana kenderaan biasanya memecut dengan selamat, bukannya di tempat selekoh maut atau jalan menjunam atau tidak rata yang biasa menjadi tempat kenderaan terbabas.

Apakah benar lokasi-lokasi AES tersebut adalah lokasi majoriti berlakunya kemalangan atau lokasi kemalangan maut berdasarkan statistik dari Bahagian Trafik PDRM?

Dan hingga ke hari ini, kejadian kemalangan maut terus berlaku hampir setiap hari di negara ini, anehnya ia terjadi di kawasan yang tidak diliputi oleh AES tersebut.

Jadi benarkah AES efektif dalam membantu mengurangkan kadar kemalangan terutama kemalangan maut di negara ini? Semua persoalan ini perlu dijawab oleh Miros.

Apakah AES ini suatu solusi atau hakikatnya ianya suatu cara untuk kerajaan pusat terdahulu memancing wang rakyat berdasarkan lokasi tiang-tiang AES tersebut?

Para pengguna lebuh raya pun makin sedia maklum kedudukan AES tersebut melalui pelbagai aplikasi mudah alih telefon pintar mereka. Bahkan ramai yang sudah menghafal kedudukan AES ini lantas menjadikannya tidak efektif lagi untuk memerangkap kenderaan yang melanggar had kelajuan.

Maka apa lagi helah untuk AES berfungsi dengan efektif selain dari menghalakan kameranya ke arah lain pada kedudukan tiang yang sama? Semua pertanyaan-pertanyaan ini wajar dijawab oleh Menteri Pengangkutan sebelum ini yang cukup menyokong sistem AES tersebut.

Kini ternyata AES merupakan salah satu skandal tinggalan kerajaan Barisan Nasional zaman Najib yang turut melibatkan penggunaan dana rakyat dan negara apabila terbongkarnya cerita penggunaan sebanyak RM555 juta wang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) kononnya atas dasar pelaburan bagi menampung kos operasi AES tersebut.

Sekali lagi, adakah pihak Miros tahu mengenai ini? Atau turut terbabit sama dengan “skim pelaburan” AES tersebut? Jika AES ini sudah jadi satu bentuk bisnes yang dibuat oleh pihak kerajaan terdahulu, maka bagaimana agensi kerajaan bernama Miros ketika itu boleh berlaku adil dalam membentangkan hasil kajian mereka berkenaan AES tersebut?

Bolehkah masyarakat mempercayai cadangan atau saranan dari Miros dalam hal ini? Perlu ada penjelasan terperinci dari Miros kenapa AES ini dipilih serta pencapaian AES tersebut setelah bertahun beroperasi dalam mengurangkan kemalangan terutama kemalangan maut di negara ini.

Realitinya, dari dahulu lagi, pihak kerajaan BN serta agensi-agensi berwajib gemar menyalahkan kelajuan sebagai faktor utama kemalangan di negara ini. Seolah-olah kelajuan itu kambing hitam utama yang harus dimusuhi oleh polis trafik dan para penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Walhal jika kita lihat fenomena di negara-negara maju, kelajuan dijadikan “sahabat” terutama di lebuh raya yang mempunyai 3 lorong. Yang salah ialah memecut di jalan-jalan sempit, dalam kawasan bandar dan perumahan atau memandu dalam keadaan berbahaya. Sebagai contoh negara Jerman mempunyai lebuh raya dipanggil “Autobahn” untuk kenderaan memecut. Mengikut kajian, kadar kemalangan maut di Autobahn Jerman jauh lebih rendah dari statistik di lebuh raya Amerika Syarikat.

Faktor cuaca, penyelenggaraan jalan, keadaan kenderaan dan sikap pemandu turut menyumbang kepada berlakunya kemalangan, bukan hanya kelajuan. Kereta yang dipandu oleh orang mabuk, pandu lawan arus, atau tidak memecut ketika hendak memotong, juga mampu mengakibatkan kemalangan maut walaupun kenderaan itu tidak dipandu laju.

*Penulis adalah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu merangkap Ketua Biro Integriti Armada Nasional



Comments
Loading...