RM18 bilion tidak hilang: Najib


Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib menegaskan kerajaan mempunyai wang tunai RM18 bilion pada akhir tahun 2017.

(Sinar Harian) – Perkara itu dibuktikan dengan perkongsian penyata kewangan akhir tahun 2017 sebanyak 400 muka surat.

“Jika Guan Eng mahu berterusan menuduh kerajaan BN tiada wang untuk membayar ataupun wang semua sudah dicuri adalah tidak benar.

“Kerana mengikut penyata akhir tahun 2017 yang dikeluarkan oleh Akauntan Negara Malaysia, kerajaan Malaysia mempunyai wang tunai RM18 bilion pada akhir tahun 2017 termasuk RM8,914 juta dalam tangan dan RM7,749 juta dalam Akaun Simpanan Tetap (FD) bagi tempoh tiga (3) bulan dan ke bawah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut bekas Menteri Kewangan ini, beliau hairan PH sebelum ini tidak langsung membangkitkan soal pembayaran balik berjumlah RM16.046 bilion.

“Saya hairan mengapa ahli parlimen PH tidak pernah sekalipun membangkitkan isu ini walaupun sekali sebelum mereka menjadi kerajaan. Kalau sebanyak 1,653,786 kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan terbabit, ini tentu sudah menjadi isu yang besar sebelum ini.

“Saya juga hairan kerana selama BN menjadi kerajaan, ini tidak pernah menjadi isu dan hanya apabila PH menjadi kerajaan timbul banyak isu seumpama ini tetapi apabila diminta untuk membuat laporan polis, beliau enggan.

“Saya lebih pelik kerana sama seperti kes wang GST sebanyak RM18 bilion, Guan Eng hanya sedar tentang isu RM16.046 bilion tuntutan cukai pendapatan lebih bayar selepas 3 bulan,” katanya.

Kelmarin, Guan Eng mendedahkan BN tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan hartanah yang terlebih bayar berjumlah RM16.046 bilion sehingga 31 Mei 2018.

Menurut Guan Eng, baki kredit belum dibayar balik oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM16.046 bilion itu membabitkan 1,653,786 kes syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

Soal pelaksaan pengecualian cukai sehingga hujung bulan ini, Najib berkata ada kemungkinan PH akan terus menuding jari kepada BN.

“Saya mahu menyatakan dengan jelas berikutan pengecualian cukai selama tiga bulan (tax holiday) dan kekurangan pendapatan setiap bulan selepas pemansuhan GST dan digantikan dengan SST telah menyebabkan kerajaan kehilangan hasil  sebanyak RM31 bilion.

Besar kemungkinan bahawa selepas tiga setengah bulan, Guan Eng baru menyedari bahawa langkah ‘tax holiday’ dan menukar dari GST ke SST adalah langkah yang tidak betul.

“Berikutan cara pengurusan ekonomi yang tersasar kerajaan baharu ini, mereka kini menuding jari ke arah kerajaan BN sebagai selimut kepada kesilapan mereka sendiri,” katanya.



Comments
Loading...