Saifuddin pula cabar Abdullah Sani kemuka bukti


Setiausaha Agung PKR itu berkata soal Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri sudah dibincang secara konsensus sebelum ini.

(FMT) – Giliran Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution pula menuntut Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani mengemukakan bukti berhubung dakwaan wujud usaha menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri.

“Pendirian saya sama dengan pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau bagi komen semalam,” katanya selepas merasmikan persidangan kebangsaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2018 di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, hari ini.

Ahli parlimen Kulim Bandar Baharu itu berkata sepatutnya tidak timbul isu berkenaan kerana ia dicapai dalam satu kata sepakat oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebelum gabungan itu menjadi kerajaan.

“Proses untuk peralihan ini adalah perkara dalam lingkungan PH, temanya adalah peralihan perkara itu telah dibincang dan dipersetujui di peringkat Majlis Presiden PH. Jadi kita kekal di situ dahulu, tidak timbul soal lain daripada itu,” katanya.

Menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu, pimpinan PH mencapai satu konsensus di mana Dr Mahathir akan menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar selepas 2 tahun.

Semalam, Dr Mahathir meminta mencabar pihak yang menuduh beliau dan Ketua Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin cuba menghalang Anwar menjadi perdana menteri, mengemukakan bukti.

Abdullah dilaporkan berkata beliau mempunyai bukti ke atas dakwaannya itu namun enggan mendedahkannya kepada media.

Beliau sebelum itu mendakwa Anwar akan berdepan masalah mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir jika Rafizi Ramli gagal menewaskan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam pemilihan timbalan presiden pada pemilihan akan datang.

Dakwanya, pihak yang pernah melakukan kesalahan terhadap Anwar sekali lagi berkomplot untuk menghalang beliau menjadi perdana menteri dan secara terbuka mendakwa Daim mempunyai peranan dalam komplot itu.

 



Comments
Loading...