Menjelang 100 hari kerajaan Pakatan Harapan


Nasrudin bin Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat

1. “Janji 10” yang digariskan dalam Buku Harapan untuk dilaksanakan selama 100 hari Ketajaan PH menunjukkan tiada hasil yang boleh dibanggakan. Bahkan, lebih banyak isu berbangkit terutamanya yang melibatkan kepentingan umat Islam yang juga gagal diuruskan dengan baik.

2. Apa yang ditunjukkan oleh PH sekadar retorik populis untuk menumbangkan BN sahaja. Oleh sebab itu, banyak janji  tidak mampu untuk dilaksanakan dan ianya cuba ditutup dengan manipulasi hutang negara.

3. Pertama, Dewan Rakyat telah luluskan Rang Undang-Undang Cukai Jualan 2018 dan Cukai Perkhidmatan 2018 serta memansuhkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 pada minggu lalu.

Namun, ia belum tentu boleh kurangkan kos sara hidup rakyat. Berdasarkan beberapa simulasi yang ditunjukkan dalam pelbagai kes seperti jualan harga kereta, pertukaran GST kepada SST 2.0 akan meningkatkan lagi kos harga jualan.

Malah, tempoh ‘tax holiday’ selama 3 bulan tidak mampu mengurangkan secara signifikan Indeks Persepsi Pengguna (CPI) terutama bulan pada bulan Jun yang lalu.

4. Kedua, harga minyak petrol RON 95 khususnya tidak diturunkan. Dikekalkan harga tanpa membuat pembaharuan baru dalam peruntukan subsidi petrol.

Kerajaan seharusnya pertimbangkan mekanisme untuk meringankan beban rakyat dengan mengambil kira pendapatan yang bakal dinikmati oleh kerajaan daripada perubahan harga minyak mentah dunia yang kini telah melonjak sekitar AS$74 setong.

Rakyat terkilan janji manis yang ditaburkan untuk mengurangkan harga minyak tidak berlaku sehingga akhir tahun 2018.

5. Ketiga, tiada lagi hutang tidak wajar yang telah dihapuskan oleh Kerajaan, malah bantuan bulanan sara hidup para peneroka yang berjumlah RM 1000 masih belum dijelaskan sejak bulan Jun 2018.

6. Keempat, skim caruman KWSP untuk suri rumah hanya akan dimulakan pada 15 Ogos (RM 40) bagi fasa pertama dan berkemungkinan akan mengambil tempoh yang agak lama bagi membolehkan potongan dua peratus daripada KWSP suami kerana ia mempunyai implikasi perundangan iaitu pindaan Akta KWSP 1991.

7. Kelima, Kementerian Sumber Manusia telah mengakui  pihaknya belum bersedia untuk menyamaratakan gaji minimum seluruh negara, apatah lagi untuk meningkatkan kadarnya sehingga RM1,500 sebulan.

8. Keenam, bagi peminjam PTPTN, hanya pemansuhan senarai hitam sahaja telah dilakukan, tetapi ada cadangan pula daripada pihak kementerian untuk menyenaraikan peminjam yang gagal membuat bayaran semula ke dalam senarai bankrap.

Bagi mereka yang mempunyai pendapatan RM4,000 ke bawah masih tetap dikehendaki untuk membayar semula pinjaman.

9. Ketujuh, Kerajaan Persekutuan hanya menubuhkan Jawatankuasa 1MDB bukan bertaraf Suruhanjaya Siasatan Diraja 1MDB. Setakat ini, bekas PM telah didakwa dengan kes yang berkaitan dengan SRC International.

Aset berkaitan 1MDB dan Jho Low seperti The Equanimity sangat meragukan kerana pertembungan keputusan kehakiman antara DOJ Amerika Syarikat dan mahkamah di Indonesia.

Bagi kes yang ditularkan mengenai FELDA, MARA dan LTH, tiada lagi suruhanjaya siasatan ditubuhkan meskipun agensi berkenaan telah disusun semula di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

10. Kelapan, Jawatankuasa Khas Kabinet menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63) telah dibentuk pada akhir bulan Julai yang lalu.

Masih belum ada apa-apa perkembangan daripada jawatankuasa tersebut melainkan PH Sarawak telah menawarkan satu Perjanjian Tawaran Baharu yang masih diperingkat rundingan.

Selain itu, anggota jawatankuasa terutama daripada pembangkang masih belum diumumkan walaupun telah dijanjikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong bulan lalu.

11. Kesembilan, isu kontroversi terbaru yang melibatkan pemberian RM500 sebagai pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar berkemungkinan tidak mungkin boleh dilaksanakan oleh kerajaan.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Kesihatan pula memberi cadangan yang menambahkan beban kewangan rakyat iaitu akan memperkenalkan skim insurans kepada golongan B40 dengan bayaran yang difikirkan wajar. Ia nyata bercanggah dengan skim peduli sihat yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan.

12. Terakhir, janji ke-10 iaitu melakukan kajian terperinci terhadap projek-projek mega yang berkaitan dengan negara-negara luar.

Setakat ini, antara projek mega yang difokuskan ialah projek ECRL dengan negara China dan projek HSR dengan negara Singapura. Kedua-dua projek tersebut belum mempunyai kata putus, malah kerajaan dilihat bakal menerima impak negatif sekiranya membatalkan projek berkenaan.

Secara keseluruhan, 10 janji yang ditawarkan tidak menunjukkan hasil dalam tempoh 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan. Semua janji tersebut masih belum mencapai objektif yang telah ditetapkan atau dijanjikan.

Sejahtera Bersama Islam

 



Comments
Loading...