Guan Eng nafi tuduhan Annuar


(Sinar Harian) – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menafikan tuduhan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ketika sesi menjawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Guan Eng, tuduhan dibuat Annuar itu tidak berasas dan berharap ia tidak diteruskan pada masa akan datang.

“Saya kesal beliau masih layan, kata perkara yang tak benar. Saya harap fitnah seperti ini tak diteruskan oleh beliau kerana tuduhan itu tidak berasas,” katanya.

Pagi tadi, Annuar ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) 2018 meminta Guan Eng menjelaskan sama ada benar beliau telah ditolak ke China

Beliau juga meminta penjelasan Guan Eng sama ada benar Setiausaha Agung DAP itu telah mengarahkan SPRM menyerbu syarikat China berkait ECRL.

“Apakah benar dakwaan mengatakan negara China tidak membenarkan Yang Berhormat mengikuti rombongan atau memasuki negara China kerana telah berlaku sesuatu mungkin salah faham atau sesuatu yang menyinggung kerajaan China?

“Ada juga yang tuduh menteri kita terlibat meminta SPRM membuat serbuan kepada syarikat-syarikat milik kerajaan China menyebabkan hubungan terjejas sehinggakan perundingan yang sepatutnya dijalankan menteri tidak dapat disertai. Ini mungkin tuduhan palsu tapi imej menteri kewangan kita terjejas,” katanya.

Menurut Guan Eng, beliau tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan serbuan kepada SPRM.

“Saya tak pernah keluarkan arahan kepada SPRM serbuan kepada syarikat ECRL (dari China). Saya tak tahu kenapa Ketereh kata saya nak kenakan syarikat ECRL itu.

“(Tidak hadir pertemuan dengan China kerana tidak dibenarkan) tidak berasas. Pada hari Isnin saya terpaksa berada di Senat untuk pastikan RUU terutama berkaitan SST dapat diluluskan kerana jika tidak diluluskan ia akan jejaskan hasil negara,” katanya.

Pada sesi pagi tadi, Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof beberapa kali menegur Annuar yang dilihat lari tajuk ketika membahaskan RUU tersebut.

 



Comments
Loading...