ANAK: PH tak dapat hapus hutang peneroka dalam 100 hari


Pengerusi ANAK Mazlan Aliman berkata ini kerana kerajaan PH masih lagi tidak mendapat penyata sebenar peneroka.

(FMT) – Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berpendapat kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak dapat menunaikan janji untuk menghapuskan hutang peneroka dalam masa 100 hari pentadbiran.

Pengerusinya, Mazlan Aliman berkata, ini kerana kerajaan pimpinan PH masih lagi tidak mendapat penyata sebenar peneroka.

“Oleh kerana pengurusan tertinggi Felda belum dapat menangani isu penyata hutang peneroka, janji itu tidak boleh dilaksanakan.

“Disebabkan Pengerusi Felda Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor pun dah ada, kita minta supaya pengurusan tertinggi Felda dapat menyiapkan terlebih dahulu hutang sebenar peneroka.

“Apabila jumlah sebenar hutang peneroka diperoleh, barulah kerajaan boleh memansuhkan hutang itu,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai 10 janji dalam masa 100 hari pertama pentadbiran iaitu menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka Felda.

17 Ogos ini, genap 100 hari PH memerintah negara selepas memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan memerlukan “toleransi” masa bagi menyelesaikan masalah hutang tersebut.

“Bagi saya warga Felda faham, tapi yang penting ialah langkah-langkah ke arah itu mesti dimulakan oleh Felda.

“ANAK bukan sahaja memantau tapi berharap apabila ia menjadi dasar manifesto oleh kerajaan pakatan yang baru. Mereka kena akur dan memastikan ia sebolehnya mengikut apa yang dirancangkan.”

 



Comments
Loading...