Asri: Bukan Siti Kasim dan LGBT sahaja undi PH


Mufti Perlis itu menyifatkan tindakan, gaya dan bahasa Siti Kasim sangat tidak matang.

(FMT) – Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin mengkritik Siti Kasim seolah-olah undi peguam hak asasi manusia itu dan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sahaja yang menentukan kemenangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Beliau merujuk tindakan Siti menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa mengarahkan penurunan gambar 2 aktivis LGBT, Pang Khee Teik dan Nisha Ayub daripada Pameran “Stripes and Strokes” yang mengetengahkan patriotisme Malaysia sempena Festival George Town.

Asri menyifatkan tindakan Siti sangat tidak matang.

“Sangat tidak matang cara bahasa dan gaya yang dipertontonkan. Apatah lagi jika mahu diukur dari nilai budaya Timur dan Nusantara kita yang santun dan berbudi bahasa.

“Sangat janggal. Bimbang jika watak seperti itu dilihat oleh anak-anak kita yang masih mentah,” tulisnya dalam Facebook hari ini.

Semalam Siti dilaporkan berkata, menyedihkan apabila gambar rakyat Malaysia yang mewakili semua kumpulan “diturunkan secara terpilih” hanya disebabkan moral agamanya.

Katanya, Mujahid sepatutnya memberi tumpuan kepada isu kritikal kepada negara, bukannya “campur tangan dalam kebebasan awam”.

Mujahid mempertahankan arahannya dengan berkata, ia sejajar pendirian Putrajaya tidak mempromosikan gaya hidup LGBT.

Asri berkata, Siti pernah menolak jemputannya untuk berdialog secara terbuka berhubung isu Islam di Malaysia, sejajar semangat Malaysia baru menjadikan dialog matang sebagai pentas penyuburan pemikiran rakyat.

Hari ini, beliau sekali lagi mempelawa aktivis itu menghadiri dialog terbuka untuk membincangkan isu LGBT.

Beliau percaya ada ramai aktivis yang boleh mewakili suara rakyat majoriti menolak LGBT dan berharap ada pihak yang boleh menganjurkan dialog itu.

“Mungkin Ustaz Salman Ali juga masih bersedia untuk dialog tersebut. Jika tiada penganjur, kita di Perlis akan menjemput beliau untuk dialog tersebut secara terbuka dan adil.”

 



Comments
Loading...