Kerajaan ada pelan B jika Dewan Negara tolak SST


Kerajaan mempunyai pelan B untuk memastikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dilaksanakan pada 1 September jika Dewan Negara yang dikuasai Barisan Nasional (BN)  menolak rang undang-undang itu.

(Malaysia Gazette) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mengesahkan pelan B itu, tetapi tidak mendedahkan lebih lanjut.

Walaupun Rang Undang-Undang SST dijangka diluluskan di Dewan Rakyat sebelum 17 Ogos, tetapi ia mungkin berdepan halangan di Dewan Negara sekali gus menyebabkan cukai tersebut tidak dapat dikuat kuasa mengikut jadual iaitu pada 1 September.

Daripada 51 Senator yang ada, 29 orang ialah ahli Barisan Nasional, Pas (tiga), Gerakan (dua), Pakatan Harapan (enam) dan lain-lain (11).

Walaupun percaya Ahli Dewan Negara akan membuat keputusan secara bertanggungjawab, tetapi Vui Keong berkata, kerajaan tetap menyediakan strategi untuk menghadapi apa jua keadaan.

Mengikut Perlembagaan, rang undang-undang kewangan jika ditolak di Dewan Negara, Speaker Dewan Rakyat boleh membawa rang undang-undang berkenaan secara terus kepada perkenan Yang Dipertuan Agong selepas satu bulan ia ditangguhkan.

Untuk rang undang-undang lain pula, Dewan Negara boleh menolak dan memulangkan kembali rang undang-undang berkenaan kepada Dewan Rakyat untuk dibahas semula.

Vui Keong berkata, penolakan Dewan Negara ke atas Rang Undang-Undang SST akan menyebabkan negara terjerumus ke dalam kemelut kewangan malahan tidak dapat membayar gaji penjawat awam.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan memaksa Senator meletak jawatan walaupun Pakatan Harapan akan terus berdepan halangan dalam keadaan BN mempunyai majoriti dalam dewan.

“Ahli Dewan Negara BN boleh membuat keputusan sendiri untuk meletak jawatan atau kekal sehingga penggal mereka tamat.

“Senator tidak akan dipaksa meletak jawatan kerana mereka adalah dilantik Yang Dipertuan Agong,” katanya.



Comments
Loading...