PH tak kaji dulu janji 20 peratus royalti petroleum?


Manifesto PH yang dianggap membeli jiwa pengundi didakwa dibuat secara melulu tanpa kajian mendalam telah ‘menjerat’ kerajaan terutamanya dalam janji pemberian 20 peratus royalti petroleum kepada negeri pengeluar iaitu Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

(Sinar Harian) – Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed berkata, PH yang mempunyai ramai pakar dalam bidang minyak gas sewajarnya melakukan kajian terperinci sebelum menabur janji.

“Kalau kerajaan buat kajian terlebih dahulu mereka patut tahu jumlah 20 peratus itu tidak wajar kerana berdasarkan pengeluaran tidak ada syarikat petroleum yang akan bersedia menyalurkan hasil keluaran mereka dengan jumlah itu kepada kerajaan negeri.

“Maka, pelaburan dalam sektor minyak dan gas akan menjunam kerana mereka rugi sebab perlu bayar 20 peratus kepada pengeluaran itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Mustapha yang juga Pengerusi BN Kelantan berkata, berdasarkan kepada pengeluaran bukan keuntungan, negeri-negeri berkenaan akan tetap dapat bayaran tidak kira sama ada syarikat untung atau rugi.

Menurutnya, pemberian itu berlaku sejak Akta Pembangunan Petroleum 1974 diwujudkan iaitu lima peratus kepada kerajaan negeri dan lima peratus kepada kerajaan pusat dengan mengira keuntungan syarikat Petronas.

“Apa yang menghairankan, PH ada ramai pakar, ini janji tak boleh main-main kerana manifesto mesti bersandarkan kepada kajian yang teliti,” katanya.

Ahli Parlimen Jeli itu turut menyatakan beberapa perkara yang dimasukkan dalam manifesto PH telah dimungkiri kerana mereka maklumkan ada janji yang tidak dapat dilaksanakan.

“Sebenarnya bukan susah sangat, cuma manifesto ini dibuat secara tergesa-gesa,” tambahnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin menzahirkan rasa tidak puas hati dengan kenyataan kerajaan bahawa pembayaran 20 peratus royalti petroleum kepada negeri-negeri pengeluar ditangguhkan.

“Sebetulnya memang tidak berpuas hati kerana sebahagian daripada komponen kerajaan termasuk dalam Warisan dan United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (Upko) telah menyatakan bahawa ini merupakan satu manipulasi dan hampir penipuan.

“Sebab dalam perjanjian iaitu 20 peratus itu hasil daripada pengeluaran bukan daripada hasil keuntungan, jadi ini akan kita tunggu dan lihat. Saya akan terus menyuarakan ketidakpuasan hati sebab ini janji,janji kena ditepati,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, turut mendesak janji itu disegerakan dan ia bukan bersandarkan kepada keuntungan bersih sebaliknya daripada hasil pengeluaran petroleum negeri-negeri pengeluar.

“Tak bolehlah itu janji, mereka nak berikan kita 20 peratus royalti,bukan keuntungan bersih, royalti katanya.

“Itu dua perkara berbeza sebab mereka dah janji, dah menang, tunaikanlah janji itu,” gesanya.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menghargai manifesto PH yang berjanji akan membuat pembayaran royalti dua kali setahun iaitu pada Februari dan Ogos.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana telah pun buat satu perubahan besar, di mana royalti dibayar kepada semua negeri pengeluar,cuma hingga setakat ini kita belum menerima mekanisme pembayarannya.

“Dalam perbincangan saya dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pembayaran akan dibuat dua kali setahun dan kita harap pembayaran dapat dilaksanakan dalam waktu yang ditentukan, terima kasih Tun, harap PH dapat tunaikan janji,” ujar Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Sebelum ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui, kerajaan tidak dapat melaksanakan janji tersebut dengan kadar segera.

Menurutnya, hal ini kerana pelaksanaannya bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974 yang memperuntukkan pengiraan adalah berdasarkan keuntungan kasar dan bukan keuntungan bersih.

Manifesto PH untuk PRU14 menjanjikan negeri-negeri pengeluar minyak dan gas akan diberi royalti atau nilai bersamaan yang sewajarnya.

Kerajaan PH akan menambah jumlah royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada 20 peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih adil.

Ini akan membolehkan negeri-negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak tanggungjawab perbelanjaan pembangunan di peringkat negeri.



Comments
Loading...