Kelantan tuntut Putrajaya bayar 5% royalti minyak dahulu


(FMT) – Kerajaan Kelantan menuntut kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan membayar 5% royalti minyak yang merupakan hak negeri itu, kata Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Timbalan menteri besar Kelantan itu berkata, perjanjian asal hanya membabitkan pembayaran 5% royalti minyak.

“Kami hanya tuntut hak (royalti petroleum) 5% sahaja, selesailah hak itu dulu,” katanya dipetik Bernama selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dilaporkan berkata, pemberian 20% royalti kepada negeri pengeluar minyak tidak boleh dilaksanakan segera kerana perlu menunggu Akta Pembangunan Petroleum 1974 dipinda.  

Katanya, cadangan PH menambah pemberian royalti minyak daripada 5% kepada 20% dibuat berdasarkan keuntungan bersih Petronas, bukannya jumlah hasil pengeluaran kasar yang ternyata bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum 1974.

Beliau berkata, kementeriannya sedang meneliti perkara itu dengan pihak berkaitan untuk memastikan pemberian royalti minyak yang adil dan telus, serta mengambil kira implikasi kewangan kepada negara dan industri.

Sementara itu, Amar berkata, kerajaan tidak perlu menggubal Akta Kebencian Agama dan Kaum kerana Akta Hasutan 1948 cukup untuk melindungi semua agama dan kaum di negara ini daripada budaya mencaci dan maki.

Naib presiden PAS itu berkata, Malaysia mempunyai banyak undang-undang, tetapi penguatkuasaan terlalu lemah.

“Saya rasa lebih baik menteri (di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa) melihat dahulu akta yang ada dan tengok di mana ruang yang kita boleh laksanakan untuk menjaga keharmonian di dalam negara kita, terutamanya dalam isu melibatkan agama dan kaum.

“Saya (juga) ada terbaca pandangan daripada seorang peguam (yang mendakwa) Akta Hasutan ini cukup untuk mengawal isu perkauman dan agama.”

Semalam, Mujahid dilaporkan berkata, kerajaan bercadang menggubal Akta Kebencian Agama dan Kaum untuk melindungi semua agama daripada sebarang penghinaan.

 



Comments
Loading...