PAS cabar PH tunjuk bukti terima RM90 juta daripada Umno


Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadli Shaari berkata, kegagalan menunjukkan bukti bermakna PH menggunakan dakwaan itu untuk mencipta persepsi jahat.

(FMT) – PAS mencabar Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan bukti parti Islam itu menerima RM90 juta daripada Umno seperti yang didakwa gabungan berkenaan sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahmad Fadli Shaari (PAS-Pasir Mas) berkata, kegagalan menunjukkan bukti bermakna PH menggunakan dakwaan itu untuk mencipta persepsi jahat.

“Sebelum PRU14, bila kita cabar tunjukkan akaun mana kita terima RM90 juta, mereka sebut pelbagai akta kononnya dihalang kerajaan.

“Hari ini, PH sudah menjadi kerajaan, klasifikasikan dokumen-dokumen yang PAS terima dana seperti ini,” katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Sarawak Report dalam satu artikel yang disiarkan pada 6 Ogos 2016 mendakwa RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke akaun pimpinan tertinggi PAS bagi mempengaruhi mereka menyokong Umno dan Barisan Nasional.

Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak turut menepis dakwaan beliau memberi RM90 juta kepada PAS dan menyifatkan tuduhan itu mengarut.

Susulan itu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memfailkan saman fitnah terhadap editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada April 2017.

Sementara itu, Fadli turut mendakwa PH gagal menunaikan janji 100 hari mentadbir negara.

“Di Terengganu, PAS melaksanakan 5 janji daripada 20 manifesto PAS, walaupun ada orang kata mana mungkin kahwin hari ini, esok beranak.

“Tetapi, Terengganu kita telah beranak 5, pertama kembalikan tanah yang dirampas, rumah dan tanah kepada mereka yang berumur 21 tahun dan layak, kahwin percuma di setiap Dewan Undangan Negeri, air percuma kepada golongan miskin dan mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak di setiap jabatan kerajaan negeri.”

 



Comments
Loading...