Quran Tanpa Sunnah Bukan Ajaran Islam Sebenar


Oleh: USTAZ NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

Saya memetik laporan akhbar Sinar Harian hari ini (21 Julai 2018) mengenai jaminan PM bahawa kerajaan laksana ajaran Islam sebenar. Antaranya beliau dikatakan menyebut: “Itu kita akan cuba di Malaysia supaya kita kembali kepada al-Quran. Ada kelainan kadang-kadang antara al-Quran dan hadis, tapi lebih baik kita pegang kepada al-Quran kerana ia wahyu daripada ALLAH sedangkan hadis adalah sunnah Nabi. Kita boleh ikut, kalau tak ikut pun tidak mengapa,” katanya.

Hasrat kembali kepada ajaran Al-Quran patut disambut baik dan disokong sekiranya ia benar-benar selaras dengan tuntutan Islam. Ahli Parlimen PAS yang diwakili oleh Timbalan Presiden PAS berucap di Dewan Rakyat bahawa PAS akan sokong sekiranya kerajaan menurut Islam dan tetap akan melawan jika bercanggah dengan Islam.

Benar, Tun. Al-Quran tidak sama dengan Sunnah. Al-Quran ialah kalam Allah, mukjizat kepada Nabi Muhammad, disampaikan secara mutawatir, membacanya adalah ibadah.
Sunnah pula ialah segala sesuatu yang bersumber dari Nabi SAW dalam bentuk ucapan, perbuatan, penetapan, sifat tubuh serta akhlak yang dimaksudkan dengannya sebagai tasyri’ (pensyariatan) bagi umat. Menurut ulama usul fiqh, Sunnah ialah segala sesuatu yang bersumber dari Nabi SAW selain Quran, baik perbuatan, perkataan, penetapan yang baik untuk menjadi dalil hukum syarak.

Tun, tidak benar kata-kata: “Kita boleh ikut, kalau tak ikut pun tidak mengapa’ merujuk kepada Sunnah. Ini kerana Sunnah itu ada yang menjadi wajib, sunat, makruh dan hukum lain yang disebut hukum taklifi.

Contoh mudah untuk Tun faham ialah solat lima waktu itu wajib. Dalilnya ayat Quran dan hadis. Tatacara solat dijelaskan melalui perbuatan dan kata-kata Nabi. Di sini wajib menurut Sunnah Nabi tentang tatacara solat yang bersifat asasi seperti bilangan rakaat, rukuk, sujud. Di sana ada tatacara di dalam solat yang tidak wajib diikuti, tetapi elok diikut. Justeru, kata-kata ‘tidak wajib ikut Sunnah’ perlu kepada huraian. Semua ini dipelajari di dalam bidang Usul Fiqh, Ulum Al-Quran, Mustalah Hadis dan lain-lain yang sangat diketahui bagi mereka yang melalui aliran dan disiplin ilmu ini.

Menyeru kepada ‘ikut Al-Quran sahaja’ dibimbangi termasuk dalam hadis akhir zaman yang diberi peringatan oleh Nabi SAW: Daripada Miqdam bin Ma’dikariba ra, dia berkata: Bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Hampir tiba suatu masa di mana seorang lelaki yang sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan orang kepadanya sebuah hadis daripada hadisku, maka ia berkata : “Pegangan kami dan kamu hanyalah kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan. Dan apa yang ia haramkan kami haramkan”. Kemudian Nabi bersabda, “Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah SAW, samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah.”
riwayat Abu Daud.

Ayat Al-Quran pula jelas memerintahkan kita menurut Nabi: ” Dan apa yang didatangkan oleh Rasul, maka ambillah. Dan apa yang dia larang kamu, maka hentikanlah.” Al-Hasyr: 7

Dalam satu forum, Tun pernah menyebut bahawa sebelum beliau menolak hadis, Imam Bukhari telah menolak sejumlah besar hadis. Adakah Tun mengkaji, meneliti dan memahami kenapa Imam Bukhari menolak hadis itu? Adakah kerana semata-mata mahu menolak hadis atau kerana ia tidak mencukupi syarat-syarat tertentu yang menjadikannya boleh diiktiraf sebagai hadis?

Kerajaan Kelantan, lama dahulu, pernah berhasrat melaksanakan hukum jenayah menurut Quran, tetapi ketika itu bukankah Tun juga yang mengutus surat memberi amaran supaya kerajaan Kelantan tidak meneruskannya?

Benar. Islam tidak hanya berkait dengan potong tangan pencuri atau rejam penzina. Islam juga menuntut berlaku adil. Dan di antara bentuk keadilan itu ialah berhukum dengan hukum Quran terhadap penjenayah yang menceroboh harta orang lain atau mencalar maruah dan zuriat.

Kelantan telah berusaha membaiki taraf hidup rakyat, prasarana, rumah kediaman, bantuan dan lain-lain khidmat terhadap rakyat. Ia juga sejajar dengan ajaran Quran.

Dalam keadaan ketua hakim negara dan peguam negara bukan orang Islam yang komited dengan ajaran Islam, bolehkah keadilan menurut Quran ditegakkan? Sebelum inipun, ada Melayu Islam yang menjadi peguam negara tetapi parti yang didokongnya bukanlah berdasarkan Islam sebenar dan menjunjung Al-Quran, maka berlakulah apa yang telah berlaku.

Sekiranya PM beri jaminan kerajaan mengikut ajaran Quran sebenar, dan ia dibuktikan melalui tindakan, samada dari segi pelantikan, kelulusan akta dan lain-lain, saya rasa parti saya tentu tidak akan teragak-agak menyokong kerajaan pusat. Soalnya, benarkah jaminan itu?

Penulis ialah Ketua Lajnah Media Baharu Dewan Ulamak PAS Terengganu dan Timbalan YDP PAS Kemaman 

 



Comments
Loading...