Perkasa sokong debat Ramasamy, Zakir


(Malaysia Gazette) – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyambut baik saranan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin agar Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P Ramasamy berdebat dengan pendakwah bebas antarabangsa, Dr. Zakir Naik.

Perkasa turut mencadangkan debat itu diadakan secara langsung dalam media elektronik supaya dapat disaksikan oleh seluruh rakyat Malaysia dan membuktikan siapa benar siapa salah.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam (Bihalim) Perkasa, Dr. Amini Amir Abdullah berkata, menerusi debat itu, Dr P Ramasamy yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat (CEC) dapat menjawab dakwaan yang mengaitkan penglibatan beliau dengan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE).

“Kita risau wujud mana-mana puak yang boleh dikaitkan dengan aktiviti keganasan dalam negara ini, apatah lagi jika ia dikaitkan dengan kumpulan pengganas antarabangsa. Kita bersetuju saranan Dr Maza agar Dr P Ramasamy menjawab secara terperinci isu berkenaan.

“Molek juga pihak berkuasa bertindak segera sebelum nasi menjadi bubur dan sebelum masa terlambat,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Dr Maza mencadangkan agar pendakwah Islam terkenal itu, Dr Zakir dan Dr P Ramasamy berdebat secara terbuka dengan tajuk, Who is the real terrorist? (Siapa pengganas sebenar?)

Dr Amini Amir yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa turut mempersoalkan apa tujuan P Ramasamy menjemput ahli LTTE, V. Gopalasamy atau Vaiko ke majlis perkahwinan anaknya, tahun lalu.

“Apakah Ramasamy antara penyumbang material kepada LTTE hinggakan Vaiko sanggup datang ke Malaysia semata-mata untuk menghadiri majlis peribadi Timbalan Ketua Menteri II itu?

“Mesti ada hubungan tertentu antara Vaiko dengan P Ramasamy. Perkara ini juga perlu disiasat oleh pihak berwajib. Perkasa difahamkan Vaiko ditahan di lapangan terbang oleh pihak berkuasa dan disoal siasat beberapa jam susulan namanya telah disenaraihitamkan,” katanya.

Sebelum ini, puak Hindu Hindraf dan DAP termasuk P Ramasamy telah mencadangkan supaya Dr Zakir dihantar pulang ke India dengan alasan agar hubungan Malaysia dengan negara itu tidak terjejas berikutan pendakwah bebas itu dituduh menyokong keganasan.

 



Comments
Loading...