Kenyataan media PDRM tak selari fakta, kata polis Macau


Fuzi berkata minggu lalu bahawa Low melarikan diri ke Macau selepas polis Malaysia tiba untuk mencarinya di Hong Kong.

(Malaysiakini) – Polis Macau mempertikai kenyataan media oleh polis Malaysia berhubung permintaannya untuk mendapat bantuan bagi menangkap ahli perniagaan yang dikaitkan dengan  skandal 1MDB, Low Taek Jho.

Dalam kenyataan dikeluarkan kepada wartawan tempatan yang diterima Malaysiakini, Jabatan Polis Persekutuan Macau berkata ia kesal apabila polis Malaysia menyebarkan “berita mengenai Macau yang tidak sejajar dengan fakta,”.

Bagaimanapun, pihak berkuasa itu tidak mengulas lanjut.

“Interpol China cawangan Macau telah menerima permintaan dari negara yang berkenaan dan telah memberikan jawapan.

“Bagaimanapun, individu bertanggungjawab atas pernyataan media baru-baru ini oleh pasukan polis negara yang berkaitan tentang berita mengenai Macau adalah tidak sejajar dengan fakta.

“Pasukan polis sangat kesal mengenai perkara ini. Mengikut peruntukan undang-undang, polis Macau tidak secara terbuka mendedahkan maklumat masuk dan keluar individu,” kata kenyataan itu.

Malaysiakini telah menghubungi polis Macau untuk menjelaskan lebih lanjut mengenai maklumat khusus yang didapati tidak tepat itu.

Terdahulu hari ini, polis Macau mengesahkan menerima permintaan daripada pihak berkuasa Malaysia untuk menangkap Low.

Dalam satu sidang akhbar pagi ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengumumkan Bukit Aman telah membuat permintaan rasmi kepada polis Macau untuk membantu menangkap Jho Low bagi membantu siasatan terhadap 1MDB.

Low yang sering disebut sebagai Jho Low merupakan individu utama dalam skandal 1MDB.

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) mendakwa dalam saman sivilnya bahawa ahli perniagaan itu terlibat dalam penyelewengan dana 1MDB.

Dia dituduh menggunakan dana itu untuk membeli kapal persiaran mewah, The Equanimity; barang kemas untuk model Miranda Kerr; dan juga kalung berlian merah jambu berharga AS$ 27.3 juta untuk isteri Malaysian Offcial 1 (MO1).

DOJ mendakwa berlian merah jambu itu dibeli menggunakan AS$ 620 juta yang didakwa MO1 telah dikembalikan kepada penderma keluarga diraja Arab, tetapi sebaliknya disalurkan ke akaun yang didakwa dikawal oleh Low.

MO1 dikenal pasti sebagai bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 



Comments
Loading...