Mujahid Nafi Iktiraf Golongan LGBT


(Perak Today) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menafikan dakwaan bahawa beliau mengiktiraf golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) berikutan kenyataannya mengenai golongan itu baru-baru ini.

Beliau sebaliknya berkata kenyataan itu diputar belit di media sosial sehingga menimbulkan pelbagai persoalan serta kecaman beberapa pihak.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya (mengiktiraf LGBT). kenyataan saya mengenai LGBT kononnya saya mengiktiraf golongan ini sudah di ‘spin’ (putar belit) dalam media sosial.

“Ingin saya jelaskan perbuatan sumbang mereka (golongan LGBT) yang bercanggah dengan agama, nilai moral kemanusiaan dan fitrah, kita tidak dapat terima dan tak mungkin negara juga menerima perkara berkenaan.

“Tetapi, sebagai rakyat Malaysia, daripada sudut hak mereka tidak disakiti, hak mereka untuk mendapatkan keadilan, sudah tentu kami akan jaga dan jamin seperti dalam Artikel 8 (Perlembagaan Persekutuan), iaitu setiap warganegara wajib dapat keadilan dan tidak boleh disakiti dan ditindas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Khidmat Parlimen Parit Buntar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Serong di sini, semalam, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, sebelum ini dilaporkan berkata kenyataan Mujahid yang dilaporkan dalam media mengenai LGBT bersalahan dari sudut pandangan Islam dan peruntukan undang-undang negara.

Mohd Khairuddin dipetik sebagai berkata, pandangan Mujahid yang mengiktiraf LGBT sebagai hak individu adalah salah kerana LGBT membabitkan pencerobohan terhadap hak masyarakat dan sifat tabii kemanusiaan.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, berkata apa yang dimaksudkannya ialah aspek berkaitan Artikel 8 dalam Perlembagaan, namun terkilan disalah anggap dan kemungkinan ia sengaja diolah pihak tertentu bagi menggambarkan pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang baharu bersikap liberal dan sebagainya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan mengadakan pertemuan dengan golongan ulama, cendekiawan dan pentadbir agama Islam untuk mendapatkan maklum balas mengenai pentadbiran Islam.

“Pertemuan itu bagi mendapatkan maklum balas pandangan mereka mengenai institusi pentadbiran Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.

Beliau juga meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang viral dalam media sosial kononnya kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota haji kerana kerajaan Malaysia mahu menarik balik tentera Malaysia yang menyertai pakatan diketuai negara itu dalam peperangan di Yaman.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kerana perkara itu tidak betul. Hubungan baik kita dengan Arab Saudi amat baik kerana mereka sentiasa menjadikan Malaysia keutamaan berbanding dengan negara lain,” katanya.

 



Comments
Loading...