Siasatan 1MDB selesai 50%, kata bos SPRM


(Bernama) – Siasatan berhubung kes 1MDB telah 50% selesai, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Beliau yang ditemui selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM di Istana Negara di sini hari ini berharap proses siasatan kes akan selesai dijalankan secepat mungkin.

“Saya bersyukur atas pelantikan ini dan ini merupakan satu amanah besar kepada saya untuk menjalankan tugas yang diberikan.

“Fokus saya ketika ini tetap menjalankan kes sekarang iaitu berkaitan RM2.6 bilion. Doakan supaya kes ini diselesaikan secepat mungkin,” katanya merujuk kepada RM2.6 billion yang dikatakan disalurkan ke akaun peribadi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini SPRM memanggil 3 individu bagi memberi keterangan berhubung kes 1MDB iaitu Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak tirinya, Riza Aziz.

Terdahulu, Shukri yang dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM pada 18 Mei lepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di Istana Negara.

Beliau menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang ditamatkan kontrak perkhidmatannya pada 14 Mei lepas berkuat kuasa serta merta, dan kembali bertugas di Pejabat Peguam Negara.

Shukri, 58, pernah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum bersara awal pada 2016. Jawatan terakhir yang dipegang beliau adalah timbalan ketua pesuruhjaya (Operasi) SPRM.

Shukri yang berpengalaman luas dalam kes siasatan jenayah, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan (Kepujian) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Turut hadir menyaksikan istiadat pelantikan adalah Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

 



Comments
Loading...