Peguam: Tak boleh beri Jho Low kekebalan kerana dia ‘pesalah utama’


Peguam, N Sivananthan berkata hanya menunggu masa Interpol atau pihak berkuasa menahan Jho Low yang sedang bersembunyi di luar negara, sebelum diserahkan kepada Malaysia.

(FMT) – Ahli perniagaan, Low Taek Jho yang sedang diburu pihak berkuasa, mungkin mencari kekebalan daripada pendakwaan jenayah sebagai pertukaran untuk memberi maklumat kepada pasukan petugas menyiasat 1MDB, kata seorang peguam.

Datuk N Sivananthan percaya ini tidak boleh diterima Malaysia kerana tidak mahu pesalah utama itu terlepas daripada sebarang hukuman.

“Secara jujurnya, dia perlu dihadapkan ke mahkamah kerana dia ialah watak utama yang terbabit secara langsung dengan kehilangan dana 1MDB,” katanya kepada FMT.

Sivananthan mengulas laporan Wall Street Journal yang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak tawaran untuk penyiasat Malaysia mengambil keterangan Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low di Dubai. 

Menurut laporan itu, keputusan Dr Mahathir itu disampaikan melalui orang tengah.

Sivananthan yang juga peguam di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, percaya kini hanya menunggu masa sebelum Jho Low ditahan Interpol atau pihak berkuasa di negara yang menjadi tempat perlindungannya, sebelum diserahkan kepada Malaysia.

Jho Low dipercayai berada di Taiwan atau Macau dan Malaysia tidak boleh membawanya pulang kerana tiada perjanjian ekstradisi dibuat dengan negara itu.

Katanya, disebabkan sudah ada notis merah dikeluarkan Interpol ke atas Jho Low, polis di negara itu boleh menahannya dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa Malaysia.

Sivananthan berkata, ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu boleh ditahan jika Malaysia membuat perjanjian ekstradisi dengan negara Jho Low berada.

Low dan 4 individu lain diburu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan ke atas dakwaan AS$4.5 bilion diseleweng dari 1MDB antara 2009 dan 2015.

Minggu lalu, SPRM meminta Jho Low tampil membantu siasatan ke atas SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

SPRM turut meminta bekas pengarah urusan SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil Nik Othman, 47, serta lelaki misteri, Tan Kim Loong yang didakwa pemegang pelbagai akaun bank di luar negara, dalam pengubahan wang berbilion ringgit milik 1MDB, untuk membantu siasatan.

Akaun itu termasuk Tanore Finance di Bank Falcon Singapura, di mana RM2.6 bilion (AS$681 juta) didakwa disalurkan ke dan dari akaun AmBank bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bersama Tan, SPRM turut memanggil Pengarah Pelaburan 1MDB, Tan Keng Chee, bekas peguam awam 1MDB, Loo Ai Swan dan rakan Jho Low, Geh Choh Heng untuk membantu siasatan.

 



Comments
Loading...