Menteri jangan memandai-mandai kata harga barang turun 30 hingga 50 peratus – Cassa


(Malaysian Gazette) – Harga barangan keperluan asas seperti ayam, sayuran dan daging lembu yang dikatakan telah turun antara 30 hingga 50 peratus sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan adalah tidak benar dan hanya bersifat politik semata-mata.

Malah kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub itu disifatkan tidak bertanggungjawab dan cuai sehingga menyebabkan rata-rata masyarakat serta pemain industri cuak seketika.

Presiden Persatu­an Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George ternyata kecewa dengan kenyataan seumpama itu yang menurut beliau tidak sepatutnya dikeluarkan semata-mata demi populariti terutamanya dari mulut ‘menteri’.

“Dari mana menteri dapat maklumat seumpama itu? Kami yang sudah dalam industri ini, diri saya sendiri sudah berkecimpung selama 42 tahun tidak tahu pula harga barangan sudah turun mendadak sehingga 30 hingga 50 peratus sejak PH ambil alih. Siapa bagi angka ini?

“Saya amat kecewa dan sedih kerana pada tanggapan saya, Menteri seperti YB Salahuddin Ayub yang saya anggap sangat berpotensi itu sebenarnya tidak ‘layak’ menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani seandainya mahu keluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab. Ini kenyataan politik.

“Mana mungkin sejak ambil alih, anda sudah mendabik dada mengatakan harga barangan turun mendadak? Saya akui memang ada penurunan sejak tahun lepas tetapi ianya masih peringkat awal dan sedikit terutamanya selepas GST sifar peratus.

“Janganlah cuba untuk memberi gambaran terdesak sehingga sampai begini sekali. Sejak semalam hingga hari ini, saya dan pemain industri lain telah dihujani dengan pelbagai mesej dan panggilan musykil apakah barangan yang turun sehingga 30 hingga 50 peratus itu. Jangan timbulkan kekalutan dan ketakutan. Ini sungguh tidak bertanggungjawab,” tegas beliau.

Semalam, Salahuddin memberitahu media pihaknya telah dimaklumkan mengenai penurunan harga barangan terbabit, khususnya menjelang Aidilfitri.

“Walaupun tidak besar lagi harga ayam sebelum tahun lalu lebih RM7 (sekilogram), namun sekarang boleh dibeli dengan harga sekitar RM5 atau RM6.

“Harga sayuran juga ada yang turun sehingga 50 peratus di pasaran. Harga daging lembu boleh dibeli sekitar RM30 sekilogram secara keseluruhan, harga barang keperluan semasa turun 30 hingga 50 peratus,” kata Salahudin semalam pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana semalam.

Jacob turut memberi amaran kepada Salahuddin untuk berhati-hati dan berhenti mendabik dada kononnya kerajaan PH telah melakukan ‘keajaiban’ mendadak menurunkan harga barangan sekelip mata.

“Anda mungkin boleh dabik selepas tiga bulan akan datang atau selepas sambutan perayaan lain selepas ini, mungkin ketika itu kita boleh percaya. Saya tidak kata langsung tiada penurunan tetapi sehingga 30 hingga 50 peratus bukan dalam tempoh sebegini awal adalah bohong dan tidak berasas.

“Cukuplah, saya mohon kepada beliau untuk lebih peka. Mungkin anda mahu berjumpa terlebih dahulu dengan pemain industri seperti kami yang mungkin lebih arif. Baru keluar kenyataan. Jangan memandai.

“Anda telah menyebabkan kami semua susah pada masa yang sama, janganlah keluarkan kenyataan sesuka hati kerana kepentingan masa depan politik anda. Anda adalah Menteri, bukan lagi pembangkang,” ujarnya.

 



Comments
Loading...