Sime Darby, SP Setia nafi salah laku dalam projek Battersea London


(FMT) – Sime Darby Property Bhd (Sime Darby) dan SP Setia Bhd hari ini menjelaskan pengambilalihan tapak serta kos seterusnya bagi pembangunan Stesen Janakuasa Battersea dibiayai sepenuhnya gabungan ekuiti daripada pemegang saham serta pinjaman pembangunan.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua syarikat itu berkata, pinjaman tersebut disediakan atas terma komersial oleh sekumpulan pemberi pinjaman Malaysia dan antarabangsa.

“Lebih 60% disediakan pemberi pinjaman antarabangsa,” kata 2 syarikat itu yang menyangkal sebarang dakwaan salah laku berkaitan projek berpangkalan di London itu.

Dua pemaju hartanah itu juga berkata, pinjaman pembangunan sebanyak £458 juta (£1=RM5.34) bagi fasa satu dibayar semula sepenuhnya lebih awal daripada jadual.

“Modal awal sudah dilaburkan dalam projek ini oleh pemaju dan keuntungan daripada fasa pertama kini dilaburkan semula untuk membangunkan fasa seterusnya,” menurut kenyataan bersama itu.

Sebelum ini, kerajaan pimpinan Pakatan Harapan membangkitkan kebimbangan mengenai janji niaga Stesen Janakuasa Battersea dan pelaburan hartanah utama lain di United Kingdom, selain berhasrat mengkaji dan merundingkan semula janji niaga itu sekiranya terdapat sebarang salah laku.

Pada 11 pagi tadi, saham SP Setia meningkat 4 sen kepada RM2.9 dengan 4.63 juta saham diniagakan, manakala saham Sime Darby Property naik 4 sen kepada RM1.25 dengan 2.92 juta saham bertukar tangan.

 



Comments
Loading...