Salleh: Umno Sabah setia bersama BN


(FMT) – Umno Sabah menghormati keputusan 4 parti di Sarawak meninggalkan Barisan Nasional (BN), tetapi mereka berikrar akan terus bersama gabungan itu selepas kekalahan mengejut pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, Umno Sabah tidak akan meninggalkan Umno Pusat yang setia bersama BN hanya kerana mereka gagal membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Katanya, ramai ahli dan penyokong parti di Sabah yang masih setia dengan perjuangan Umno, selepas mereka berusaha membantu calon BN menang pada 9 Mei lalu.

“Kita harus terus memperkukuhkan parti sebagai pilihan alternatif kepada rakyat. Apapun tindakan yang diambil semestinya melalui muafakat antara kita. Tindakan tergopoh-gopoh akan merugikan kita. 

“Berbeza pendirian politik bukannya satu kesalahan dan tidak semestinya bermusuh. Kita amalkan politik matang demi negara dan rakyat Malaysia tercinta,” katanya dalam catatan blognya hari ini.

Semalam, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi tonggak BN Sarawak, bersama Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) meninggalkan gabungan itu untuk membentuk pakatan baru dinamakan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg dilaporkan berkata, keputusan itu diambil susulan pertimbangan dan penilaian perkembangan politik semasa dalam negara selepas PRU14.

“GPS akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan demi kepentingan negara dan hak negeri serta kepentingan berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan Persekutuan Malaysia.

“Kami akan melindungi kepentingan semua rakyat Sarawak tanpa mengira saiz sesuatu komuniti dalam cara yang inklusif,” katanya pada sidang media di Kuching semalam.

Sementara itu, Salleh yang juga bekas menteri komunikasi dan multimedia berkata, Umno Sabah akan menumpukan perhatian untuk memastikan pemilihan parti pada 30 Jun ini berjalan lancar.

 



Comments
Loading...