Lebih 60 NGO desak Kadir Jasin mohon maaf kepada Agong


Kumpulan NGO itu turut mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Hasutan ke atas pihak yang menyalahgunakan kebebasan media untuk memperlekehkan atau mengaibkan Agong serta Raja-Raja Melayu.

(FMT) – Lebih 60 badan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara berhimpun di luar Istana Negara hari ini bagi mendesak bekas ketua media dan komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A Kadir Jasin memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong kerana menghina Sultan Muhammad V.

“Ia dimulakan saudara Kadir Jasin. Bila Kadir Jasin menggunakan kebebasan media, ia akan merosakkan, mengheret rakyat supaya benci kepada raja.

“Maka, dengan ini, kita menuntut Kadir membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia dan raja-raja Melayu,” kata Pengerusi Yayasan Belia Malaysia, Datuk Suhaimi Ibrahim yang berkumpul di luar Istana Negara bersama lebih 200 penyokong berbaju hijau daripada 60 NGO berkumpul untuk menunjukkan solidariti kepada Sultan Muhammad V.

Kadir yang juga bekas ketua pengarang kumpulan New Straits Times menerusi blognya baru-baru ini mendakwa kira-kira RM257 juta digunakan untuk perbelanjaan hidup dan peribadi Sultan Muhammad V dalam tempoh 16 bulan sejak dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Beliau mendakwa secara purata RM16 juta sebulan dibelanjakan antaranya ke atas penginapan, kediaman, barangan peribadi, pesawat, pengangkutan, pakaian, hadiah dan cenderamata, kunjungan luar negara.

Beliau turut mempersoalkan usaha pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerajaan meyakinkan raja Melayu mengenai status mereka.

Suhaimi mendesak kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil tindakan tegas di bawah Akta Hasutan ke atas pihak yang menyalahgunakan kebebasan media untuk memperlekehkan atau mengaibkan Agong serta raja Melayu.

“Kita harap kerajaan mengambil tindakan keras di bawah Akta Hasutan kerana ini boleh meresahkan rakyat. Kita harap kerajaan tegas kepada mana-mana individu termasuk Kadir yang mencemarkan institusi beraja.

“Jangan guna media untuk membuat sesuatu yang menyentuh institusi beraja dan demokrasi berperlembagaan. Jangan cuba memberi gambaran merosakkan institusi raja Melayu, kerajaan dan rakyat kerana ia akan menyebabkan suasana tidak harmoni.”

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Karate Malaysia, Datuk Noor Nordin Abdullah berkata tindakan Kadir ialah jenayah yang perlu dikenakan hukuman setimpal.

“Kita tidak akan berbelah bagi dengan sesiapa sahaja yang menentang institusi raja, maknanya mereka menentang institusi berperlembagaan persekutuan, ini adalah satu kesalahan jenayah yang wajib diambil tindakan.”

Pada 7 Jun lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata Kadir disiasat di bawah Akta Hasutan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia berhubung artikelnya mengenai Agong.

Katanya, kertas siasatan akan dihantar kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

 



Comments
Loading...