Terima kasih UMNO


Rosli Dahlan

Terima kasih UMNO keranamu
Melayu bersatu
Terima kasih UMNO
Yang mengubah nasib anak bangsa
dari papa menjadi kaya
dari petani jadi saintis
dari nelayan jadi akauntan dari buruh kasar jadi loyar
Terima kasih UMNO kerana
jadi harapan bangsa
sejak merdeka

Tapi kenapa hari ini
di hari ulangtahunmu
orang Melayu mentalqinkanmu?
Kenapa orang Melayu membenci dan memusuhimu
sehingga mencipta Tsunami menguburkanmu tanpa tugu?
Kenapa benci sekali Melayu padamu?
Apakah Melayu lupa
pada segala jasa
pada segala usaha
pada segala mimpi dan aspirasi
yang pernah sekali
dulu menjadi tangkal azimat dan laungan pada bangsa yang keramat
Di mana salahmu UMNO?

Apakah kerana kau lupa menjaga maruah
lupa pada janji dan jati diri sehingga tidak berupaya membezakan yang keji dengan yang murni? Sehingga kadok dijunjung di kepala dan mengangkat pemimpin yang bobrok menjadi dewa?

Apakah itu bukan salahmu sendiri
yang tidak bisa membezakan hitam dengan putih
salah dengan benar sehingga keonaran bernanah dalam jiwa?
Maka sakitlah semuanya bangsa Melayu yang menjadi bangsat dan terhina di mata dunia

Maka salah siapa UMNO
bila kau tidak bisa mendidik pemimpinmu dari bersikap onar dan perampuk durjana bermaharajalela?

Hari ini
Hari ulangtahunmu UMNO
aku sambut dengan air mata seperti menangisi kekasih
di pusara
Aku tangisimu
bukan kerana aku benci padamu
tapi kerana aku masih nostalgia
pada UMNO yang pernah membela bangsa
menjadi tunggak agama

Selamat tinggal Umno….



Comments
Loading...