‘No komen’ Mat Sabu mengelirukan


(Harian Metro) – AHLI Parti Amanah Negara (PAN) hari ini mencabar Presidennya, Mohamad Sabu membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam bagi menafikan bahawa beliau bukan individu yang bercakap dalam rakaman suara, gambar serta WhatsApp yang didedahkan baru-baru ini.

Cabaran itu dibuat oleh wakil ahli PAN iaitu Rizal Bakar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, jawapan ‘no komen’ diberikan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kepada media, semalam adalah amat mengelirukan dan langsung tidak menjawab persoalan sama ada individu berkenaan adalah dirinya.

“Saya berterima kasih kepada kepimpinan PAN kerana reaksi yang cepat walaupun masa diberi untuk menjawab persoalan itu adalah 36 jam.

“Namun apa yang amat mendukacitakan adalah hal keahlian saya pula yang dipertikaikan tanpa menjawab persoalan khusus terhadap isu ditimbulkan,” katanya.

Berkaitan kenyataan Pengarah Komunikasi PAN Khalid Samad yang mempersoalkan mengapa ‘bahan’ yang didedahkannya kelmarin tidak diberi terus kepada parti atau kepada Mat Sabu, Rizal berkata, ia adalah kerana ‘bahan’ terbabit baru saja diperolehnya seminggu lalu.

Katanya, pendedahan itu juga bersangkut paut dengan dasar parti serta ajaran Islam dan perlu dijawab secepat mungkin agar ahli PAN tidak hilang kepercayaan kepada pucuk pimpinan.

“Oleh kerana PAN adalah sebuah parti bertujuan menegakkan keadilan sejagat berpandukan kepada ajaran Islam, tingkah laku sebegini rupa, jika benar, akan menjejaskan kewujudan dan intipati parti.

“Sebagai ahli parti, saya amat jijik dengan kemunafikan dan tingkah laku seperti ini, jika benar, kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam dan prinsip parti,” katanya.

Dalam kenyataan sembilan perenggan itu, Rizal turut meminta Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjawab sama ada Mat Sabu perlu melepaskan jawatan dalam PAN serta menarik diri sebagai calon bertanding bagi Parlimen Kota Raja.

“Mengambil kira hal ini, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk bertanya kepada Tun Dr Mahathir, apa pendapatnya mengenai isu tingkah laku yang dikatakan membabitkan Mat Sabu itu.

“Tun Dr Mahathir sentiasa menitik beratkan bahawa isu moral dan akhlak pemimpin amat penting. jadi, apa pendapatnya?” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Rizal berkata, pendedahan yang dibuat kelmarin bagi membolehkan satu siasatan menyeluruh dapat dijalankan dan hasil siasatan perlu dikongsi kepada ahli parti, pengamal media termasuk khalayak umum.

 



Comments
Loading...