Mangsa Memali ‘mati katak’, bukan mati syahid – Dr M


(Harian Metro) – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa 14 mangsa yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 1985 sebagai ‘mati katak’, bukan mati syahid.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, ‘Amanat Haji Hadi’ pada 1981 yang menjadi punca berlakunya peristiwa hitam terbabit dengan membunuh pegawai kerajaan yang disifatkan sebagai kafir.

“Amanat Haji Hadi ringkasnya menyuruh orang dia (PAS) supaya membunuh pegawai kerajaan, kononnya kerajaan kafir dan sebab itu dia menentang kerajaan kafir.

“Kononnya orang dia (PAS) yang mati dalam melawan kerajaan kafir ini akan mati syahid. Tragedi di Memali, mereka menembak mati empat orang polis dan selepas itu baru polis membalas balik dan mereka mati juga seramai 14 orang. Bukan mati syahid, mati katak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdaa bersama Calon PKR P121 Lembah Pantai di perkarangan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di Kuala Lumpur, hari ini.

Peristiwa Memali yang berlaku di Kampung Memali, Baling, Kedah, pada 19 November 1985 menyaksikan pertempuran anggota keselamatan dengan penduduk kampung dan pengikut Ibrahim Libya sehingga mengorbankan Ibrahim dan 17 yang lain termasuk empat anggota polis, berpuluh-puluh lain cedera serta beratus-ratus orang ditahan.

Pertempuran itu berlaku dalam Operasi Angkara bagi menahan Ibrahim yang dianggap mengancam keselamatan negara dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, Tun Musa Hitam, didakwa bertanggungjawab terhadap operasi itu.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mendakwa PAS sebagai parti upahan Barisan Nasional (BN) dan sudah ‘dibeli’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ada sebuah parti lagi, parti bulan (PAS) ini upahan Najib, rupanya dapat duit daripada Najib. Bulan itu pun jangan dipangkah sama sekali sebab dulu dia (PAS) kata UMNO kafir dan kini mereka kerjasama dengan UMNO.

“Dulu mereka kata UMNO kafir, saya kafir dan jika kerjasama dengan orang kafir, akan jadi kafir. Sekarang, tiba-tiba dia (Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kata tidak pernah kafirkan orang UMNO. Dia pekak atau tidak pandai membaca?” katanya.

 



Comments
Loading...