Kali ini, siapa akan menjadi ‘sore loser’?


Timmy Say, Free Malaysia Today

Antara Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS, siapa paling berpotensi menjadi “sore loser” yang paling teruk, atau pihak yang paling tidak dapat menerima kekalahan?

Melihat taktik berkempen yang sedang digunakan hari ini, ketiga-tiga pihak meletakkan dirinya sebagai pihak yang bakal menang. Hanya PAS meletakkan senario kedua sekiranya mereka tidak menang, iaitu mereka hendak menjadi “kingmaker”.

Sore loser yang nyata

Tun Dr Mahathir Mohamad memulakan kempen PRU14 dengan satu nada berikut kepada polis dan tentera: “Saya tertanya-tanya adalah polis dan tentera (di Malaysia) sanggup menunggu sesiapa di kalangan kita dibunuh terlebih dulu, termasuk saya, sebelum mereka sedar…”

Skrip ini terus digunakan juga di hari kempen apabila Dr Mahathir mendakwa jet peribadi yang disewanya disabotaj dengan sengaja. Meskipun perkara itu dinafikan oleh pemilik jet peribadi JetVista dan juga Lembaga Penerbangan Awam Malaysia, Dr Mahathir berkeras dengan tuduhannya menyatakan jet beliau disabotaj untuk menghalangnya menjadi calon di hari penamaan calon.

Bayangkan apakah yang Dr Mahathir akan buat sekiranya beliau dan PH tewas di PRU14 nanti?

Lima tahun lalu, 3 hari selepas tewas PRU13 meskipun memenangi undi popular, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan satu perhimpunan di Stadium Kelana Jaya bagi menyatakan bantahan ke atas penipuan yang didakwa dilakukan dalam pilihan raya 5 Mei.

Apakah Dr Mahathir akan menjadi lebih hebat daripada Anwar? Apakah beliau akan membawa penyokongnya ke jalan raya dan menuduh bahawa jawatan perdana menterinya telah dicuri?

Melihat cara berkempen Dr Mahathir, sudah nyata beliau akan menjadi sore loser yang nyata.

Sore loser yang sukar dijangka

Datuk Seri Najib Razak memulakan kempen PRU14 tanpa merasa BN akan tewas. Contohnya di hari penamaan calon, Najib mengingatkan rakyat Malaysia bahawa ia akan menjadi hari yang sedih sekiranya tiada wakil orang Cina di dalam kerajaan selepas PRU14 nanti. Ini menandakan Najib mempunyai cukup keyakinan untuk menang.

Namun, sekiranya, hanya sekiranya, BN tewas, apakah reaksi Najib? Bagaimana pula keadaannya jika BN tewas?

Bayangan ini terlalu sukar diramal bagi BN yang tidak pernah tewas sebagai kerajaan pusat di Malaysia.

Apakah BN boleh menerima kekalahan dengan tangan terbuka yang sama jika tewas di peringkat pusat? BN akan menjadi “sore loser” yang sukar dijangka perangainya.

Namun begitu, BN pernah menunjukkan tauladan yang agak baik ketika tewas di peringkat negeri di mana peralihan kuasa berlaku dengan damai (meskipun ada unsur sabotaj di Selangor), apabila 5 buah negeri jatuh di tangan pembangkang di 2008.

Diharap BN dapat meneruskan tauladan yang sama sekiranya mereka tewas di kerajaan pusat.

Antara 3 blok parti politik, Gagasan Sejahtera yang diketuai PAS diramal akan dapat menerima kekalahan dengan baik tanpa berlakunya apa-apa konflik seperti yang berlaku di Kedah pada 2013 dan Terengganu 2004.

Malah sekiranya 2 pihak yang lain memilih untuk bertembung, diyakini PAS akan turun padang bersama unit amalnya menjadi pengaman seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia terus dipelihara.

Keputusan zaman ini

Sistem demokrasi negara yang tempang boleh menyebabkan mereka yang memenangi undi popular tidak dapat mendapat kerajaan. Ini adalah punca sebenar pihak yang tewas ada ruang untuk berpuas hati dan pihak yang menang tidak dapat menang dengan keputusan yang menyakinkan semua pihak.

Akan tetapi, perlu diingat, ketika Dr Mahathir menjadi PM, beliau tidak mempunyai masalah dengan sistem yang tempang ini.

Di zaman beliau, BN tidak pernah kalah undi popular, jadi kebarangkalian adanya sore loser daripada pembangkang adalah kecil kerana keputusan kemenangan itu adalah sesuatu yang menyakinkan.

Akan tetapi, zaman beliau sudah berlalu. BN yang ada hari ini masih menjadi kerajaan walaupun tewas undi popular.

Apakah peristiwa yang sama akan berulang?

Minggu depan, rakyat akan membuat keputusan di PRU14. Jika situasi berulang, bersedia menghadapi karenah sore losers, tapi yang paling penting – jangan dipergunakan oleh sore losers untuk kepentingan peribadi mereka.

Ahli politik perlu ingat, mereka sendiri yang bersetuju untuk bertanding di dalam sistem tempang ini, jadi janganlah ada sesiapa yang merajuk sekiranya keputusan itu turut tempang.

 



Comments
Loading...