Arul bidas pemimpin pembangkang tidak hadir sesi penerangan 1MDB!


(The Rakyat) – Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy hari ini membidas pihak pembangkang kerana tidak hadir dalam sesi ceramah dan penerangan terbuka mengenai 1MDB walaupun ia dilakukan di ‘kubu kuat’ mereka sendiri.

Jelas Arul, sesi penerangan itu dilakukan secara terbuka agar setiap persoalan atau keraguan yang timbul boleh diajukan terus kepadanya.

Ujar Arul, kehadirannya ke kubu kuat pembangkang di Subang Jaya seperti malam tadi dibuat atas prinsip ‘berani kerana benar’ dan ia juga tidak bermotifkan politik.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy bercakap ketika membuat penerangan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Wawasan Kompleks Sekolah Wawasan, Subang Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2018

” Saya amat terkilan malam ini kerana pemimpin pembangkang yang begitu kuat mengkritik 1MDB seperti Hanna Yeoh tidak pula datang, kenapa tidak datang ke sini, ke kubu kamu sendiri?

” Nampak sangat mereka tidak mempunyai minda yang terbuka untuk mengetahui isu sebenar mengenai 1MDB. Ceramah-ceramah ini dianjurkan oleh NGO, bukan parti politik. Saya bukan ahli politik. Saya bertanggungjawab sebagai pegawai syarikat milik penuh kerajaan ini untuk memberi maklumat pada rakyat mengenainya,” tegasnya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ceramah dan penerangan mengenai 1MDB dalam program ‘Bicara Subang’ anjuran Kelab Sahabat N87 di USJ15 di sini malam tadi.

BACA: Masuk 1MDB kerana tanggungjawab, gaji sebelum ini lebih lumayan – Arul

Mengulas lanjut, Arul berkata, lusa beliau akan menghadiri sesi penerangan terbuka mengenai 1MDB di Ampangan, Negeri Sembilan diikuti program yang sama di Seksyen 16 Shah Alam pada 28hb nanti.

Mengenai sambutan masyarakat terhadap sesi penerangan dan ceramah yang dihadirinya, Arul berkata, beliau lega kerana mereka yang hadir menerima penjelasan beliau mengenai isu 1MDB dengan hati yang terbuka.

” Adakalanya di permulaan sesi itu, nampak macam ada yang marah-marah, ada yang macam nak hentam saya, tetapi selalunya di akhir sesi, mereka datang untuk berselfi, bergambar dan sebagainya.

” Ini boleh juga mengurangkan ‘stres’ kerana kita semua boleh berinteraksi antara sesama kita,” ujar Arul.

Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy sempat meluangkan masa berswafoto bersama sebahagian para tetamu yang hadir selepas selesai membuat penerangan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Wawasan Kompleks Sekolah Wawasan, Subang Jaya, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2018

Tentang masa depan 1MDB, Arul berkata, masalah syarikat tersebut adalah ia telah menjadi mangsa politik pihak yang berkepentingan.

Ujarnya, lebih tepat, 1MDB adalah ‘masalah perniagaan yang telah dipolitikkan’.

Pun begitu, katanya, semua masalah itu telah diselesaikan melalui pelan rasionalisasi syarikat.

” Masa ini kita dah boleh lihat bangunan TRX yang dah naik, pelaburan dari HSBC, pelaburan dari Prudential di mana terbukti bahawa pelabur antarabangsa mempunyai keyakinan terhadap projek-projek yang dijalankan oleh 1MDB.

” Insha Allah jikalau projek-projek itu dijalankan dengan baik, ditadbir urus dengan baik, kesemua hasil dan dana daripada projek itu lebih dari mencukupi untuk membayar balik hutang jangka masa panjang syarikat.

” Apa pun yang pasti masih ada penyiasatan. Jadi kita perlu beri masa pada pihak berkuasa untuk meneruskan siasatan mereka sama ada wujud salah laku atau di dalam syarikat ini,” ujarnya lagi.



Comments
Loading...