Percaturan PAS Bertanding 160 Kerusi Tak Realistik


(Malaysian Access) – Jika perbelanjaan pilihan raya Pas mencapai had maksima ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu RM 200,000, maka perbelanjaan 160 kerusi Parlimen mencecah RM 34.40 juta

Pas bakal mencipta rekod apabila Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan parti itu akan bertanding 160 kerusi pada PRU14. Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, percaturan Pas ini menjadikannya sebagai parti yang bertanding paling banyak kerusi dalam sejarah pilihan raya umum di Malaysia.

Menurutnya, keputusan Pas itu agak mengejutkan kerana tidak pernah mana-mana parti politik bertanding melebihi 150 kerusi sepanjang PRU diadakan.

“Umno selaku parti terbesar dalam negara selain menjadi parti tunggal paling ramai ahlinya dilantik Ahli Dewan Rakyat, pun bertanding sekitar 121 kerusi sahaja pada PRU13. Adakah ini keputusan muktamad Pas memandangkan parti itu sering mengubah sasaran dan jangkaan terutama kerusi ditandingi,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan Pas sebenarnya berkecamuk dalam percaturan politiknya sendiri.

“Mula kata mahu bertanding sekitar 80 kerusi, kemudian 100, naik kepada 120 kerusi. Selepas itu diuarkan 130 kerusi, tidak lama selepas itu tambah lagi kepada 150 kerusi. Beberapa hari lalu, Abdul Hadi umum 160 kerusi pula. Mungkinkah ini permainan silap mata untuk tutup hasrat sebenar Pas untuk jadi ‘kingmaker’ atau kuasa penentu,” katanya.

Mahfuz berkata, pimpinan Pas juga dilihat tidak mampu menjawab persoalan kemungkinan mereka bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk Umno untuk membentuk kerajaan.

“Sanggupkah Pas menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak kekal sebagai Perdana Menteri? Atau sanggupkah Pas membentuk kerajaan bersama DAP yang selama ini mereka dakwa menentang Islam, termasuk  Amanah yang dianggap pengkhianat? Tidakkah ini politik oportunis?” katanya.

Menurut bekas ahli Pas selama 34 tahun itu, keputusan pimpinan Pas itu akan mengaburi sebahagian besar ahlinya yang teruja kerana Pas bertanding banyak kerusi, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Namun ahli juga wajar menilai kemampuan jentera Pas termasuk kewangan parti, terutama Pas yang gigih mengutip sumbangan atas nama jihad. Jika benar Pas bertanding 160 kerusi Parlimen, deposit calon dan bahan kempen mencecah RM 2.4 juta, mengambil kira deposit RM 15,000 untuk sebuah kerusi Parlimen,” katanya.

Tambahnya, manakala untuk belanja pilihan raya sebanyak RM 100,000 bagi sebuah kerusi. Bermakna keseluruhan diperlukan sebanyak RM 18.4 juta. Jika perbelanjaan pilihan raya Pas mencapai had maksima ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu RM 200,000, maka perbelanjaan 160 kerusi Parlimen mencecah RM 34.40 juta,” katanya.

Mahfuz mendakwa, parti itu tiada kemampuan kewangan sebesar itu, dan adakah ahlinya terpaksa bergolok gadai mencari dana untuk bertanding 160 kerusi yang disifatkan tidak realistik.

“Apakah permainan sebenarnya? Isu tular akaun Pas yang dikatakan menerima pemindahan wang berjumlah RM2.5 juta, dari seorang pemimpin kanan Umno pun belum dijawab sepenuhnya,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak menolak tanggapan bahawa ‘permainan’ sebenar di sebalik senario ini adalah bagi memastikan Pas bertanding sebanyak mungkin kerusi untuk memecahkan undi Pakatan Harapan.

“Ini akan memberi kedudukan selesa kepada Umno/BN untuk terus berkuasa. Jika rakyat mahukan perubahan masa depan negara yang lebih baik, mereka boleh mengundi Pakatan Harapan yang kini bersatu bawah lambang PKR,” katanya.



Comments
Loading...