Pengarah Pilihan Raya Amanah Selangor letak jawatan


(AntaraPos) – Pengarah Biro Pilihan Raya Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Jaafar Samsuddin, didakwa meletakkan jawatan hari ini.
Difahamkan, tindakan beliau itu ada kaitan dengan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), berikutan parti serpihan PAS itu hanya mendapat 10 kerusi berbanding 13 kerusi yang diminta dan perkara itu disahkan Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi.
Beliau berkata, berita peletakan jawatan itu tersebar selepas surat rasmi berkaitan dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp parti berkenaan.
“Apabila gambar surat peletakan jawatan itu dipaparkan dalam kumpulan WhatsApp, Jaafar mengesahkan perkara itu.
“Malah, selepas membuat pengesahan itu, beliau turut keluar daripada kumpulan WhatsApp terbabit,” katanya.
Namun, tambah Abbas, tindakan Jaafar itu langsung tidak menjejaskan persediaan parti berdepan PRU14 dan pihaknya akan membincangkan isu berkenaan bersama kepemimpinan lain termasuk melantik pengganti Jaafar.
“Ramai pemimpin Amanah yang mampu menggalas tugas ini dan akan meneruskan perjuangan, ia tidak menjejaskan hala tuju parti dengan isu peletakan jawatan Jaafar.
“Ia tidak akan menjejaskan perjuangan Amanah dan Pakatan Harapan pada PRU14, Amanah membawa suara rakyat, bukannya individu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim, ketika dihubungi berkata, beliau tidak menerima sebarang surat peletakan jawatan terbabit manakala usaha juga sedang dibuat untuk menghubungi Jaafar bagi pengesahan beliau mengenai isu ini.


Comments
Loading...